Malaysia Dateline

Tahniah pegawai wanita ramai naik pangkat di Johor, kata DAP

Enam pemimpin wanita DAP Johor mengucapkan tahniah kepada Pegawai Tadbir wanita yang diberi kenaikan pangkat dalam pertukaran kakitangan kerajaan di negeri itu.

“Kami wakil rakyat wanita DAP Johor amat mengalu-alukan pemakluman pertukaran pegawai tadbir Johor semalam.

“Antaranya, 12 orang pegawai wanita telah dinaikkan pangkat atau ditukar tempat pertugasan,” kata kenyataan bersama mereka.

Yang menandatangani kenyataan itu adalah Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai), Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang, Gan Peck Cheng (Timbalan Speaker Dewan Johor, ADUN Penggaram), Liow Cai Tung (ADUN Johor Jaya) dan Chew Peck Choo (ADUN Yong Peng).

Walaupun ini bukan kali pertama dalam sejarah negeri Johor, mereka masih ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Hajah Hazlina Binti Jalil yang ditugaskan sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi dalam pengumuman semalam.

Pertukaran ini membuktikan bahawa kaum wanita Johor mampu bersaing dalam bidang kepemimpinan, kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Puan Hajah Hazlina merupakan wanita pertama yang menyandang jawatan Yang diPertua (YDP) pihak berkuasa tempatan dalam sejarah negeri Johor pada tahun 2019.

Pada masa yang sama, Puan Norliyati binti Md Nor yang ditugas sebagai YDP Majlis Perbandaran Kluang (MPK) adalah YDP wanita yang kedua dalam sejarah Johor dan yang pertama di MPK.

Selain itu, mereka juga mengucapkan tahniah kepada Puan Hajah Shubanah Binti Yusuf yang telah lama berkhidmat sebagai Jurutulis Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor atas pelantikan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor.
“Kami wakil rakyat amat menghargai perkhidmatan Puan Hajah Shubanah Binti Yusuf selama beliau bertugas di Dewan Negeri Johor,” kata kenyataan itu.

Pertukaran lain termasuk Yang Mulia Ungku Suzana Binti Ungku Mohammad, Puan Hajah Nor Azleena binti Abdul Rahman, Puan Tazrina Binti Ahmad, Puan Noor Faezah Binti Md. Esa, Puan Nurul Ashikin Binti A. Jabar, Puan Azfan Binti Haji Azhari, Puan Hajah Farhana Binti Abdul Majid, Puan Nurul Aishah Binti Mohamadon, Puan Nur Erleta Binti Abu Samah.

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas pencapaian mereka dalam perkhidmatan awam dan kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing.

“Kami berharap Kerajaan Negeri Johor akan terus memberi peluang kepada golongan wanita supaya siling gelas akan dipecahkan pada masa yang akan datang,” kata mereka.