‘Tahniah Pemuda Amanah Pulau Melaka’

Kejayaan penduduk kampung Pulau Melaka terutama golongan muda menubuhkan cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat pujian pelbagai pihak termasuk para pemimpin parti itu.

‘Tahniah Pemuda Amanah Pulau Melaka’

Kejayaan penduduk kampung Pulau Melaka terutama golongan muda menubuhkan cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat pujian pelbagai pihak termasuk para pemimpin parti itu.

Timbalan presiden Amanah Haji Salahuddin Ayub berkata beliau sungguh terharu melihat bendera besar Amanah berkibar megah di puncak dua pokok tinggi di pintu masuk ke kampung berkenaan.

“Tahniah pemuda Pulau Melaka,” kata Salahuddin ketika berucap di majlis penyerahan permohonan penubuhan Amanah cawangan Pulau Melaka petang semalam.

Perkembangan terbaru ini kata beliau menunjukkan usaha gigih pimpinan Amanah Kelantan kini telah membuahkan hasil.

“Penerimaan parti Amanah di kalangan masyarakat Kelantan bukan lagi satu khayalan dan penubuhan cawangan di Pulau Melaka ini menunjukkan parti Islam yang kita dukungi kini benar-benar menjadi pilihan baru rakyat Kelantan,” katanya.

Penerimaan parti Amanah katanya menunjukkan orang ramai sangat faham mengapa sebuah parti Islam baru seperti Amanah perlu muncul menggantikan parti lama yang kini jelas berubah haluan.

“Sekarang di media sosial heboh ditular video ucapan saya di muktamar Pas dulu berkenaan harapan saya untuk mati dalam Pas.

“Memang benar itu ucapan saya, kerana waktu itu parti lama saya memang jelas hala tuju perjuangannya di bawah bimbingan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Ketika itu, kita bertahalluf siyasi dengan semua mereka yang bersetuju untuk melawan Umno, tetapi sekarang amat malang apabila parti itu berpaling memusuhi semua musuh Umno dan bersikap begitu mesra dan menjadikan Umno sebagai tempat bergantung pula,” katanya.

Sementara itu, penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa yang turut berucap di majlis itu berkata tindakan Pas menghalau ahli-ahli parti yang menghayati inspirasi almarhum Tok Guru Nik Aziz akan menjadikan parti itu tidak relevan lagi.

Husam turut berucap di majlis penubuhan cawangan Amanah Pulau Melaka

“Saya yang pernah jadi co-pilot semasa Tok Guru Nik Aziz jadi juru pandu pesawat Pas mereka tendang keluar ikut jendela masa kapal tengah laju.

“Mujur ada kapal pengiring bernama Amanah, boleh saya bergayut,” katanya disahut laungan takbir oleh para hadirin yang ramai membanjiri majlis itu.

Majlis yang diadakan kira-kira 100 meter dari kubur almarhum Tuan Guru Nik Aziz itu berubah sayu seketika apabila Datuk Husam mengimbau kembali detik-detik beliau bersama almarhum mengendalikan parti dan kerajaan Kelantan.

“Tok Guru selalu ingatkan saya, ingat orang susah, ingat orang susah, bila ada orang susah, orang miskin datang ke pejabat Tok Guru sentiasa ingatkan saya, beri peluang orang miskin itu jumpanya dulu sebelum orang-orang besar lain.

“Sekarang apa sudah jadi, bila rakyat susah pembesar entah kemana.

“Orang Asli ditindas pembalak, tempat mereka cari makan digondol, sungai mereka tercemar dan yang terbaru rumah tempat mereka berteduh dibakar kerana dikatakan menghalang tokey-tokey balak, sehingga hari ini tiada siapa pembesar negeri pergi menjenguk.

“Di Pasir Puteh, majlis daerah buat pasar baru yang keadaannya lebih teruk dari tempat mereka berniaga sekarang, perkara ajaib yang tidak berlaku di mana-mana di dunia,” katanya.

Husam mengingatkan hadirin bagaimana semasa almarhum Nik Aziz apabila berlaku sebarang kesusahan yang dihadapi rakyat, beliau akan segera tiba untuk bersama mereka dan mendengar keluhan serta luahan mereka.

“Saya bercakap ini begitu dekat dengan kubur Tok Guru dan beliau tentu mendengar apa yang sedang kita perbincangkan ini.

“Mereka (Kerajaan Kelantan) hakikatnya sedang meruntuhkan semua yang dibina almarhum Tok Guru dalam menegakkan Islam dan memikul amanah membantu rakyat,” katanya.