Malaysia Dateline

Tahniah Ustaz Idris Ahmad

Jikalau ada peluang untuk membuktikan pencapaian 100 hari, maka YB Senator Ustaz Idris Hj Ahmad adalah orang yang paling layak diberi tumpuan. Sebagai Menteri Agama yang baru dan bukan dari pasukan kitar-semula, rakyat sewajarnya memberikan peluang dan ruang untuk beliau membuktikan dirinya.

Nama mesra yang saya panggil beliau ialah Ustaz Derih. Saya mengenali beliau sejak aktif pada zaman Pemuda Pas. Kami dari latar belakang karier pensyarah yang sama sebelum terlibat secara sepenuh masa dalam politik kepartian.

Beliau lebih komited apabila mengambil keputusan lebih awal bersara dari ITM (masa itu) Alor Gajah, Melaka. Saya hanya bersara dari Universiti Telekom (kini MMU) menjelang PRU 1999.

Kami bertemu sebagai kepimpinan pemuda Pas di bawah Datuk Mahfuz dan Datuk Seri Salahuddin Ayub. Karier Ustaz Derih dalam Pemuda membawa beliau sebagai pengganti Salahuddin dan terkenal sebagai seorang yang melihat ke dalam parti dari sudut program pentarbiyahan.

Suka berceloteh, berjenaka dan terkenal dalam penyampaian ceramahnya “hentam Umno kaw-kaw” salah satu tagline beliau tentang Umno ialah “al Fulus fid dunia wal Mampus fil akhirah”

Ustaz Idris seorang yang setia dengan parti malah ketika PRK Bukit Gantang diadakan tahun 2009, nama beliau turut dicalonkan bersama Datuk Seri Nizar. Jujurnya saya ketika itu menyokong pencalonan beliau atas sifat beliau berasal dari kawasan Bukit Gantang dan parti mahukan generasi muda waktu itu. Namun, nama Datuk Seri Nizar disokong atas keperluan strategik setelah kerajaan Pakatan Rakyat tumbang di Perak 11 bulan memerintah.

Ustaz Idris jadi MP setelah memenangi kerusi di Bukit Gantang pada PRU 2013 dan beliau merupakan seorang yang berdisiplin dalam kehadiran semasa persidangan. Sejak mengenali beliau, saya mendapatinya seorang yang tepat masa dan kemas penampilannya.

Kini, Ustaz Derih diuji dengan kedudukan sebagai Menteri Agama yang akan diperhatikan oleh rakyat keberkesanannya. Saya tidak fikir beliau terpaksa membuat semula segala dasar pentadbiran Islam.

Semua yang diperlukan sudah tersedia ada atau belum sempat dilaksanakan dalam dasar komprehensif yang ditinggalkan. Dari Penerapan Nilai Islam, Hadhari, Wasathiyah dan Gagasan Rahmah.

Memperakui dasar

Gagasan Rahmah masih ada dokumen yang boleh dirujuk di JAKIM walaupun dasar ini menjadi ‘habuan’ di media sosial kepada para pembenci PH dan diri saya sepanjang 22 bulan menggalas amanah.

Majlis Raja-Raja pada 2019 telah pun memperakui dasar ini ketika saya membentangnya pada majlis Pre-council di hadapan semua Paduka Tuanku dan Raja-Raja Melayu. Saya yakin Ustaz Derih seorang yang berobjektif dan tidak akan diheret pada sentimen politik dalam penggubalan dasar-dasar pentadbiran agama.

Agenda memperkasakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) patut diteruskan termasuk mengoperasikan Akta Profesion Guaman Syarie (2019) yang telah diluluskan. Majlis Peguam Syarie perlu segera dilaksanakan seperti di dalam akta. Akta Wakaf dll akta yang memperkukuhkan pentadbiran Islam Persekutuan perlu diberi tumpuan.

Persoalan tuntutan nafkah juga patut diteruskan dengan membuat pindaan kepada Akta KWSP di mana keputusan Mahkamah Syariah perlu dimasukkan dalam senarai keputusan yang mengikat. Hingga kini keputusan Mahkamah Syariah dalam tuntutan nafkah terhadap suami-suami culas tidak diiktiraf oleh akta KWSP. Mohon meneruskan perjuangan kami.

Hasrat penyelarasan

Saya terasa kesal kerana satu tugas yang belum sempat saya lunaskan ialah penyelarasan Undang-undang Jenayah Syariah di antara negeri-negeri. Tugas ini telah pun kami letakkan kerangka masa mengikut proses libat urus semua negeri.

Malah, saya telah bertemu dengan semua Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam menyatakan hasrat penyelarasan ini. Alangkah baiknya jikalau Menteri Agama yang baru dapat menyempurnakan hasrat penyelarasan ini. Ia akan menjadi kayu pengukur kepada prestasi beliau nanti. Pihak Penasihat Undang-undang JAKIM saya yakin sedia membantu.

Saya kecewa dengan Menteri Agama selepas saya kerana semua agenda di atas tidak diberi tumpuan langsung. Malah, tempoh 17 bulan terbuang dengan perkara remeh yang tidak menyentuh soal dasar dan pentadbiran agama di Persekutuan.

Isu TH dibiarkan jadi bahan politik dan sentimen kebencian sehingga saya terpaksa berdebat terbuka dengan mantan Pengerusi Tabung Haji (th), Datuk Seri Azeez Rahim mempertahankan program pemulihan kami dan fitnah yang dimainkan oleh pembenci PH dan saya.

Timbalan Menteri Agama yang dikekalkan hari ini tidak banyak membantu menjelaskan keadaan, malah sejujurnya beliau turut terheret dengan sentimen murahan tentang TH yang mempunyai agenda politik sempit.

Saya meletakkan harapan tinggi agar Menteri Agama yang baru dapat menumpukan soal dasar dan pentadbiran Islam dan jauhilah daripada diheret kepada sentimen kepartian dan kebencian.

Jikalau beliau sudi, beliau boleh merujuk tujuh sektor yang telah kami sediakan di mana ia mungkin membantu beliau menilai prestasinya secara objektif dalam setiap sektor untuk tempoh 100 hari.

Tahniah, selamat bertugas dan saya menyeru warga netizen khususnya, berilah Ustaz Idris peluang. Seeru a’la Barakatillah.

*DATUK SERI DR MUJAHD YUSOF RAWA merupakan bekas Menteri Agama, Naib Presiden Parti AMANAH, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dan Ahli Parlimen Parit Buntar.