Tahukah anda, berapa banyak Malaysia rugi apabila warga Singapura isi petrol RON95?

Oleh NASUHA RAHMAN

Tahukah anda, berapa banyak Malaysia rugi apabila warga Singapura isi petrol RON95? Ya, warga Singapura berbodong-bondong memasuki Malaysia sebaik sahaja sempadan negara dibuka pada 1 April lalu.

Mereka datang ke tanah air bukan sahaja untuk membeli barang keperluan malahan mengambil kesempatan untuk mengisi minyak petrol yang jauh lebih murah dari negara mereka.

Untuk pengetahuan, sejak tahun 2010 lagi, pemandu kereta berdaftar Singapura atau mana-mana negara asing memasuki negara tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON95 kerana subsidi yang tinggi.

Bagaimanapun, masih ada di antara mereka yang melanggar undang-undang itu.

Tahukah anda, berapa banyak Malaysia rugi apabila warga Singapura isi petrol RON95?
Jual RON95, Malaysia rugi RM120.90 (SGD39) untuk sebuah kereta seperti Toyota Estima

Contohnya, lelaki ini yang didapati mengisi petrol RON95 pada sebuah Toyota Estima dengan nombor pendaftaran Singapura.

Mari kita lihat berapa banyak kerugian yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia akibat perbuatan tidak bertanggung jawab seperti ini.

Pemilik Estima ini sepatutnya mengisi petrol RON97, yang dijual pada harga RM3.91 (lebih kurang SGD1.26) setiap liter bagi minggu 31 Mac-6 April. Katakan beliau mengisi sehingga penuh tangki iaitu 65 liter bagi Estima, beliau sepatutnya perlu membayar sekurang-kurangnya RM254.15 (SGD81.90).

Namun oleh kerana beliau mengisi RON95 yang berharga RM2.05 (SGD0.66) seliter, jumlah bayaran yang dikeluarkan oleh beliau pada hari itu pastinya sekitar RM133.25 (SGD42.90) sahaja. Ini menunjukkan perbezaan sebanyak RM120.90 (SGD39). Itu untuk SEBUAH kereta.

Melihatkan situasi ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kenyataan bagi memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual minyak bersubsidi kepada kenderaan berdaftar asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen petrol berdekatan sempadan Singapura untuk tidak menjual RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing, termasuk motosikal.

Tambah beliau, semua cawangan KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand telah diarahkan untuk mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Di bawah akta itu, individu boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.

Nanta juga berkata bahagian penguatkuasa KPDNHEP telah diarahkan untuk menjalankan siasatan serta-merta dan menjalankan pemantauan lebih agresif di semua stesen petrol, terutamanya yang berdekatan negeri bersempadan.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/rafizi-cadang-gubal-undang-undang-kawal-selia-dana-berbentuk-bailout-di-parlimen/

Baca juga: https://themalaysialife.com/ini-adalah-5-risiko-yang-anda-akan-hadapi-jika-tidur-selepas-sahur/