Malaysia Dateline

Tahun 2019 akan penuh cabaran mendengar rintihan rakyat

Agak klise untuk berbicara soal Tahun Baru atau permulaan baharu.  Walaubagaimanapun, saya akan memulakan tahun baru 2019 dalam keadaan yang cukup berbeda dari 2018.

Sememangnya rakyat sedang menilai sejauh mana pencapaian kita dalam tempoh 12 bulan lalu dalam saat menantikan 2019 yang penuh cabaran.
Peristiwa 9 Mei ternyata saat yang bersejarah buat semua. Rakyat bersatu hati menjalankan tanggungjawab mereka dengan meruntuh sistem lama yang korup dan bobrok untuk sekian lama.

Peralihan kuasa yang berjalan dalam keadaan aman itu adalah cerminan kematangan warga kita, tahap profesionalisme kakitangan-kakitangan awam dan semangat patriotisme tanpa berbelah bahagi pasukan keselamatan kita.

Ini ternyata sesuatu yang membanggakan buat semua. Jarang jarang sekali berlaku dalam konteks politik dunia. Kita tidak harus cepat berpuas hati, malah kita harus berwaspada dengan tangan-tangan yang mahu mencurangi agenda reformasi yang didambakan rakyat.

Kerajaan harus terus mendengar rintihan rakyat. Jika kita benar benar mendengar dan melihat, kita akan temui pelbagai kebimbangan dan keresahan di bawah.

Sebagai contoh, saya baru-baru ini menjalankan survey dalam kalangan 3000 pelajar yang menghadiri suatu acara bual bicara dan didapati keresahan yang sama terkait gaji yang rendah dan masalah pengangguran.

Terdapat juga keresahan dalam kalangan nelayan, penoreh getah, dan buruh yang bekerja kuat demi sesuap nasi.

Ini juga menjadi sebab mengapa saya mempertahankan pemberian subsidi ketika perbahasan Belanjawan 2019 dan saya akan terus bekerja mempertahankan mereka yang terpinggir.

Kita juga akan ditinggalkan dalam arus digital jika tidak dimanfaatkan sektor tersebut.

Kita kini hidup di era yang sarat dengan perkara perkara baharu. Menyesuaikan diri dalam era ini ternyata memerlukan kemahiran dan perubahan.

Saya kini sedang meneliti dasar-dasar terkait dunia digital yang dapat membantu rakyat di Port Dickson,termasuk dasar-dasar yang boleh dilaksana yang akan memastikan Malaysia kekal relevan dalam arus ekonomi dunia dan juga yang dapat membantu kita mendepani masalah perubahan iklim dan masalah penuaan dalam kalangan rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya fokus dan mendepani masalah-masalah ini secaara bersama. Saya akan
terus bersuara bagi pihak rakyat waima berdepan dengan risiko dikritik.

Sedang kita memuhasabah dan merencana untuk tahun baharu yang mendatang, adalah penting untuk memperteguh fokus kita terhadap isu-isu penting. Kita mampu menukar kerajaan kerana kemahuan untuk untuk saling memaafi dan melupakan perseteruan demi Malaysia yang lebih baik.

Harus ditegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang dilimpahi pelbagai sumber dan aset, dan ini fakta yang tak boleh disangkal sesiapa.

Namun aset yang teraamat penting buat Malaysia adalah rakyat dan warganya yang pluralistik yang akan terus
mendukung antara satu sama yang telah melalui segalanya bersama dan akan terus mendepani cabaran-cabaran mendatang.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmatnya, dan juga kepada rakyat atas dukungan mereka. Marilah kita melangkah ke tahun baru membina masa depan yang lebih gemilang untuk semua.

 

Datuk Seri Anwar Ibraim

Presiden Keadilan

Ahli Parlimen Port Dickosn