Malaysia Dateline

Tahun 2019: Negara harmoni dan bebas kebencian kaum, kata Adun Permatang Pasir

Tanggal 9 Mei 2018 yang lalu sudah pasti menjadi tarikh yang amat bersejarah negara dan tidak mudah untuk dilupakan.

Tanggal tersebut juga merupakan permulaan lahirnya Malaysia Baharu menyaksikan regim yang telah memerintah negara selama enam dekad tumbang kesan dari gelombang kebangkitan rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan beliau semalam.

Malah katanya lagi, bukan suatu yang mudah untuk membetulkan negara setelah dibebani hutang sehingga mencecah RM1 trillion.

Walau bagaimanapun ujarnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berusaha sedaya mungkin membetulkan segala kepincangan yang telah ditinggalkan.

“Sejak tujuh bulan yang lalu terbukti kerajaan PH berjaya melaksanakan semula SST bagi memastikan keperitan rakyat menanggung kos sara hidup akibat GST telah dapat dikurangkan.

“Kerajaan juga telah berjaya mengurangkan beban kewangan negara apabila menangguhkan projek mega seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang menelan kos sehingga RM110 bilion.

“Selain itu penangguhan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan belanja RM81 bilion dan Projek Laluan MRT3 yang berjumlah RM50 bilion adalah usaha tepat bagi menjimatkan perbelanjaan negara, ” jelasnya lagi.

Menurut Faiz lagi, negara telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan apabila eksport negara mencatatkan pertumbuhan 17.7 peratus pada bulan Oktober.

Tegasnya, nilai pertumbuhan sehingga mencapai sebanyak RM96.4 bilion adalah paling tinggi dalam sejarah negara.

“Global Competitive Report 2018 oleh World Economic Forum turut menyatakan Malaysia telah berjaya meningkatkan kedudukan ke tangga 25 daripada senarai 140 negara seluruh dunia.

“Apungan harga minyak secara mingguan dengan kadar RM2.20 seliter bagi RON 95 dan RM2.18 seliter bagi Diesel, pelaksanaan subsidi minyak bersasar dan pembekuan kenaikan kadar tol lebuhraya dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Dalam sektor pertanian pula kerajaan telah pun mengumumkan insentif khas bagi membantu anak muda yang terlibat dalam keusahawanan pertanian dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, ” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, bantuan antara RM10 ribu hingga RM20 ribu disediakan bagi membantu sektor keusahawan pertanian tersebut.

“Pada peringkat permulaan pentadbiran, kerajaan telah membuat perubahan dengan menukar pimpinan institusi kritikal seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM serta SPR bagi memastikan wujudnya ketelusan dan akauntabiliti.

“Kerajaan juga sedang dalam rangka mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi mengembalikan semula kuasa autonomi kepada institusi legislatif negara selari dengan konsep pemisahan kuasa.

“Reformasi ini merupakan sebahagian dari perubahan-perubahan yang dilakukan selama tujuh bulan menerajui kepimpinan negara, ” tambahnya lagi.

Sejajar dengan itu katanya, sudah pasti perubahan yang lebih besar dapat dilaksanakan agar sistem politik dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik khususnya bagi mengurangkan kos beban sara hidup rakyat.