Malaysia Dateline

Tahun 2020 sebagai iltizam terap semangat perpaduan dalam masyarakat

Melangkah memasuki tahun baru 2020, Pemuda AMANAH Nasional beriltizam untuk menjadikan agenda perpaduan sebagai teras dalam setiap program dan inisiatif yang bakal dirangka.

Ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata, AMANAH akan terus membawa mesej rahmah, damai, dan harmoni untuk diterapkan demi kesatuan rakyat Malaysia.

“Tahun 2019 telah mencatatkan banyak kejayaan dan peningkatan usaha yang dibuat dalam memastikan negara terus berada pada landasan yang betul.

“Belanjawan 2020 adalah antara bukti komitmen kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam memandu negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, Pemuda AMANAH akan turut serta dalam segala usaha memperbaiki ekonomi negara untuk meningkatkan peluang pekerjaan terutamanya dalam kalangan graduan dan belia.

Dalam hal pendidikan jelasnya, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan terus diperkasa dan dasar-dasar berkaitan dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Bagi anak muda, kelestarian program pemberdayaan belia (youth empowerment) turut menjadi keutamaan kami.

“Program-program ke arah membina anak muda yang berkualiti dalam segenap aspek akan direncana demi melihat peranan anak muda turut diberi perhatian dalam membina Malaysia Baharu,” ujarnya.

Menyingkap kembali perjalanan sepanjang tahun 2019, negara menyaksikan situasi kerajaan yang berdepan dengan beberapa isu melibatkan hubungan antarabangsa.

Keadaan itu, kata Hasnul, memerlukan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia terkecuali dari apa-apa krisis yang boleh menyumbang kepada tekanan ekonomi sehingga menjejaskan sektor berpotensi dalam negara.

“Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk berbakti kepada Malaysia, tanah tumpahnya darahku,” ujarnya.