Malaysia Dateline

Tahun Baharu 2021: MB pastikan tiada seorang pun warga Selangor tercicir

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan memaastikan tiada seorang pun penduduk di negeri itu tercicir atau ketinggalan pada tahun baharu 2021.

Menyedari impak pandemik Covid-19, kerajaan negeri, katanya, telah menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat yang kehilangan punca rezeki untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Jelasnya, beberapa langkah segera serta yang berjangka panjang telah diambil bagi meningkatkan kecekalan ekonomi rakyat bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin yang pertama sehingga ketiga.

“Beberapa cukai telah diberi penangguhan, sementara beberapa kelonggaran turut diberikan dan ditanggung kosnya oleh Kerajaan Negeri.

“Ini semua dalam rangka mengurangkan kesempitan yang dideritai rakyat saat ini,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2021.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor itu juga memberitahu beberapa program baharu turut dirancang dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan serta membina lebih banyak pekerjaan.

Antara yang utama, katanya, adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1,000 untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.

“Lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan latihan dan bimbingan ataupun new skilling, upskilling dan reskilling serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki dengan memanfaatkan bakat-bakat sedia ada,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut secara agresif mempersiapkan beberapa platform agar rakyat tanpa mengira kaum, usia atau jantina agar dapat sama-sama menyertai ekonomi gig dengan mengadakan E-Kitchen bersama Grab dan juga jualan dalam talian E Bazaar bersama Shopee.

“Turut dibantu adalah mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat-syarikat e-hailing tetapi tidak mempunyai lesen motor; kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

“Untuk menggalakkan orang ramai turut sama dalam anjakan Digitalisasi yang cuba diterapkan, kerajaan negeri tampil menawarkan beberapa inovasi baharu yang bakal mempermudah hidup,” jelasnya.

Generasi tersisih

Menurut Amirudin, satu sistem urustadbir yang bakal mempersiapkan para pemilik perniagaan PRODUTK ke arah IR4.0 akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Turut diwujudkan, katanya, Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing semua anggota masyarakat agar lebih celik digital.

“Program seperti Bantuan Yuran Universiti (BaYU) dan Pusat Tuisyen Rakyat tetap diteruskan agar anak-anak muda yang terjejas pengajian mereka, yang disebut ‘the lost generation’ (generasi tersisih) akibat wabak Covid-19 ini, tetap terjamin kelangsungan pembelajaran dan perkembangan intelektual mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, program-program berkenaan penting agar semua pihak lebih bersiap-siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan terutama dalam situasi perebakan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Mengulas penurunan penarafan Fitch rating serta keputusan beberapa syarikat gergasi luar seperti Tencent, Google, Amazon untuk tidak bertapak di Malaysia, Amirudin berkata, Selangor akan terus menggembleng segenap usaha dalam menggalakkan sektor industri.

Antaranya, kata beliau, seperti fintech, urban farming malah perfileman dan permainan siber untuk terus berdaya saing dengan pelaburan besar yang dipanggil Selangor Innovation Fund.

“Geran berjumlah RM100 juta ini bakal memanfaatkan para pengusaha startup serta usahawan untuk meneroka teknologi baharu yang dapat menangani cabaran yang dihadapi masyarakat, sekaligus memposisikan Selangor sebagai negeri pelabur awal ataupun early stage investor, dan melimpahkan manfaat berantai dalam bentuk peluang pekerjaan dan lain-lain kepada segenap masyarakat,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambah Amirudin lagi, kerajaan negeri berhasrat untuk melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dolar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia.