Sempena menyambut awal Muharram, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional Khalid Samad mengajak orang ramai berdoa agar diberikan petunjuk oleh Allah untuk membolehkan Malaysia keluar segera dari pandemik Covid-19.
Sambil itu katanya, semua pihak harus menginsafi bahawa sambutan tahun baharu Hijrah tidak dapat dipisahkan daripada persoalan tentang pentingnya kepimpinan untuk membawa sesebuah negara ke arah kejayaan dunia dan akhirat.
Beliau juga memetik tentang kepimpinan Rasulullah saw melalui peristiwa Hijrah yang telah membawa Kota Madinah dari ambang perperangan kabilah dan tumpah darah sesama sendiri, kepada kemakmuran dan persaudaraan.
“Tidak boleh dinafikan kepimpinan yang berkesan, berasaskan akhlak yang mulia, keamanahan dan wawasan perjuangan yang jelas serta ikhlas adalah resepi wajib untuk kejayaan.
“Kita berdoa agar kita diberikan kepimpinan negara yang lebih berkesan untuk melawan pandemic Covid-19 ini serta setiap aspek kehidupan bernegara dan bermasyarakat yang telah rosak hasil darinya.
“Ini kerana, tiada yang boleh menghindar berlakunya pandemik atau wabak ini, namun keberkesanan kepimpinan akan menentukan sama ada ianya akan diuruskan dengan baik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid menambah, tiada yang boleh menafikan bahawa sepanjang menguruskan wabak ini dari mula kerajaan PN mengambil alih kuasa sehingga sekarang, kepimpinan negara telah gagal dalam segala segi selain usaha berpolitik untuk kekal berkuasa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mendoakan agar pasukan barisan hadapan sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah untuk bertugas dengan penuh semangat bagi melawan Covid-19 ini.
“Tahun baharu 1443 Hijrah ini boleh menjadi tahun pemulihan untuk kita tetapi hanya sekiranya kita mendapat kepimpinan negara yang baik yang memimpin dengan ikhlas, amanah dan berwawasan. Bukan khianat, mengembangkan budaya sogokan dan tanpa hala-tuju,” ujarnya lagi.