Tahun Baru Cina tetap diraikan erat hubungan pemimpin, rakyat

Tahun Baru Cina tetap diraikan erat hubungan pemimpin, rakyat
Azhar Ismail (kiri) mengedarkan buah limau kepada masyarakat cina di Ledang, Johor.

Walaupun sudah mencapai objektif kemenangan dalam PRU14 yang lalu, sambutan Tahun Baharu Cina tetap berjalan seperti biasa untuk terus mengeratkan hubungan pemimpin dan rakyat.

Perkara itu telah berlangsung di Ledang Johor dengan aktiviti seperti sebelum ini yakni pengedaran buah limau kepada kaum cina di kawasan tersebut.

Program yang diketuai oleh Azhar Ismail yang merupakan Ketua AMANAH Ledang itu telah mendapat tempat di hati kaum cina.

“Kita sebenarnya mahu mendengar apa yang disampaikan oleh rakyat kepada kita. Justeru pemberian buah limau ini secara langsung mendekatkan lagi antara kita dan rakyat.

“Selain itu, tradisi memberi buah limau kepada penduduk kaum cina ini adalah suatu perkara yang baik dan ia perlu diteruskan bagi kesinambungan toleransi antara kaum.

“Kita rasa gembira apabila kehadiran pasukan kami disambut baik oleh masyarakat tiong hwa yang masih lagi memberi harapan kepada kami,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau turut menyatakan hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat perlu dieratkan agar tidak berlaku jurang di antara mereka.

Dalam pada itu, beliau mahu menjadikan tradisi memberi buah limau ini sebagai suatu keraian majmuk yang berlaku di kalangan rakyat di negara ini.

“Kita akan raikan semua perayaan di negara ini sebagai menyambut saranan tidak ada permusuhan di antara kaum.

“Pandangan soal perkauman sempit ini perlu dihindarkan dan ianya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan malah lebih parah lagi ia akan mengundang ketidak stabilan dalam negara ini

“Selain itu luahan rakyat yang kita dengari dalam program ini akan diambil berat untuk kita perjuangkan dan hari ini ianya lebih mudah kerana kita sudah menjadi kerajaan,” ujarnya lagi.

Program edaran buah limau tersebut telah berlangsung di sekitar Dun Serom dan Bukit Gambir serta ia telah dilaksanakan oleh PH Ledang.