Malaysia Dateline

Tahun kedua bukan ‘tempoh percubaan’ Pakatan Harapan

Tahun kedua bukan lagi tempoh percubaan atau ‘probation period’ bagi pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya ia merupakan tahun menunaikan segala janji yang telah dijanjikan semasa pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed.

Jelas beliau, setelah lebih setahun menjadi kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018 yang lalu, maka kini adalah masa untuk memastikan segala janji dapat ditunaikan.

Datuk Jasmin Mohamed

“Semua pimpinan PH mesti sedar dan ingat bahawa segala janji dalam manifesto negeri masing-masing mesti dilaksanakan sepertimana janji yang telah dibuat sebelum mendapat kemenangan.

“Tidak kiralah samada janji tersebut merupakan janji yang minor maupun yang major kerana rakyat sudah pasti mengharapkan apa jua janji sehingga mereka memberi mandat dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Samada pimpinan PH peringkat bahagian maupun negeri, harus peka dan sedar bahawa janji-janji yang lalu perlu ditunaikan sebelum tamatnya tempoh pentadbiran kerajaan penggal ini, ” ujarnya.

Selain itu tegasnya, apa jua konflik dalaman setiap komponen parti mesti diselesaikan terlebih dahulu.

“Pertikaian dalaman parti masing-masing mesti diberi perhatian.

“Manakala perbezaan dan masalah yang ada antara mana-mana komponen mesti diambil tindakan segera

“Disamping itu janji dalam setiap manifesto negeri harus ditunaikan supaya rakyat tidak lagi serik untuk memberi mandat untuk kali kedua, ” tambahnya.

Tegasnya, amalan yang diamalkan semasa zaman BN dahulu seperti kronisme mesti dielakkan oleh pimpinan PH samada di peringkat bahagian, negeri maupun pusat.

Malah katanya, segala amalan jijik BN seperti korupsi, memberi kontrak maupun kedudukan kepada suku sakat dan keluarga serta rakan rapat mesti dielakkan.

“Jadikan segala kepincangan yang ada pada BN sebagai sempadan dan pengajaran.

“Sekiranya BN kecundang kerana kronisme dan korupsi dan penyelewengan yang berleluasa, maka seharusnya ia tidak dipraktikkan dalam mana-mana komponen PH.

“Buktikan kepada rakyat bahawa pimpinan PH samada di bahagian, negeri maupun pusat tidak lagi menjadikan BN sebagai penunjuk arah atau teladan yang harus diteladani dalam kepimpinan, ” saran beliau lagi.