Malaysia Dateline

Tahun Lembu: Bertanggungjawab, disiplin dan melindungi

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, sambutan Tahun Baru Cina akan membawa rakyat negara ini bertanggungjawab, disiplin serta bersifat melindungi sempena Tahun Lembu bagi melawan Covid-19.

“Mengikut tradisi astrologi Cina, tahun ini adalah Tahun Lembu yang membawa maksud bertanggungjawab, disiplin serta bersifat melindungi.

“Ketiga-tiga sifat ini tampaknya amat cocok dengan perjuangan kita di masa sekarang yang amat memerlukan sifat-sifat ini dalam memerangi wabak Covid-19 yang saat ini masih mengancam dan menyerang hidup warga.

“Setelah Tahun Tikus pada tahun lepas yang berlalu tidak seperti yang kita semua harapkan, saya menggesa semua termasuk diri saya untuk menginsafinya dan bersama berikhtiar dan berusaha membendung wabak ini,” kata Anwar dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina hari ini.

Ketua Pembangkang itu juga berharap, ketiga-tiga sifat itu mesti tersemat di sanubari rakyat negara ini bagi memungkinkan sebuah negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah, serta yang menolak kebobrokan dan kebejatan meski di saat wabak menyerang.

“Semangat kita tidak harus goyah dan luntur, malah harus diperkuat,” kata beliau dalam perutusan itu.