Malaysia Dateline

Tahun Melawat Malaysia 2020 inisiatif memperkukuh industri pelancongan

Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah satu inisiatif bertujuan memperkukuh industri pelancongan yang telah terbukti memberi sumbangan besar kepada negara.

Justeru, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat di negara ini supaya menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai satu misi nasional.

Perdana Menteri berkata, setiap orang mempunyai peranan yang perlu dimainkan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 supaya sasaran menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 bilion pendapatan pelancongan dapat diraih.

“Ianya (pelancongan) adalah satu industri yang berupaya melibatkan setiap lapisan masyarakat dantidak mempunyai had kepada sesiapa yang menceburinya.

“Kesan limpahanya amat menyeluruh dan rakyat boleh memilih untuk menceburinya mengikut keupayaan, kreativiti dan cita rasa diri masing-masing.

“Sumbangan industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018 telah meningkat kepada 15.2 peratus dengan nilai RM220.6 bilion, berbanding 14.6 peratus dengan nilai RM201.4 bilion pada tahun 2017,” katanya dalam ucaptama perasmian Ambang [email protected] Kuala Lumpur Pembuka Tahun Melawat Malaysia 2020, di Dataran Merdeka, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi.

Lebih 80, 000 rakyat Malaysia hadir di Dataran Merdeka bagi memeriahkan sambutan ambang kemerdekaan, di samping menikmati pelbagai aktiviti seperti persembahan bertenaga daripada artis dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menambah, dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, industri pelancongan dilihat kekal kompetitif.

“Pada tahun 2018, guna tenaga di dalam industri ini meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 3.5 juta orang dan menyumbang 23.5 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga negara berbanding 22.9 peratus pada tahun 2017.

“Bagi tahun 2019 pula, prestasi industri pelancongan Malaysia dari Januari hingga September memperlihat kesan yang amat menggalakkan.

“Ketibaan pelancong asing ke Malaysia telah meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2018,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau memperincikan statistik berkenaan untuk menunjukkan betapa besarnya peluang yang terdapat dalam industri pelancongan dan berterusan berkembang setiap tahun.