Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional, kata Mahathir

Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional, kata Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia agar menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Beliau berkata setiap orang ada peranan yang perlu dimainkan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana kerajaan akan memastikan kempen itu akan menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Keramah-tamahan kita bukan sekadar satu slogan tetapi diterjemahkan sebagai sifat semula jadi dan budaya rakyat negara kita.

“Keindahan sesuatu tempat itu akan menarik orang untuk datang tetapi keramah-tamahan penduduknya akan membuat orang tinggal lama dan datang semula,” katanya pada pelancaran Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata pelancongan adalah satu daripada sektor terpenting dalam memastikan ekonomi dan sektor perkhidmatan negara berkembang kerana ia bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah satu peluang selain menjadi satu cabaran buat negara untuk menarik jumlah rekod kedatangan pelancong ke negara ini sebagai destinasi pilihan bagi pelancong sama ada yang datang untuk bersantai atau berniaga.

“Adalah diharapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasarannya untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata kertersambungan penerbangan dari destinasi-destinasi lain ke Malaysia adalah satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia dan mencapai sasaran kempen.

“Kita mempunyai kemudahan udara yang lebih baik yang menghubungkan bandar raya-bandar raya lain dengan Malaysia, kita mampu menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” kata beliau.

“Oleh itu, kita perlu menyambung dan menjangkau pasaran yang memberi ‘pulangan tinggi’ yang menjadi pasaran sasaran Malaysia untuk kempen ini, iaitu ASEAN, China, India, United Kingdom dan Jerman,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 juga banyak bergantung kepada promosi-promosi yang berkesan.

“Sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan transformasi digital dengan menekankan kepada pamasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial jika industri berkenaan ingin kekal berdaya saing,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu sedar bahawa kejayaan kempen ini akan memberi manfaat kepada semua orang kerana tumpahan daripada industri pelancongan akan menjalar ke pelbagai perniagaan dan industri yang lain.

“Saya amat gembira apabila diberitahu bahawa projek kebangsaan ini menyaksikan penyertaan pelbagai peringkat dan sektor, kementerian-kementerian, agensi-agensi, jabatan-jabatan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan para pemain industri pelancongan sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 memfokus kepada ekopelancongan, seni dan budaya, sesuai dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Budaya Kebangsaan yang meletakkan ekopelancongan, seni dan budaya sebagai fokus utama dan jalan menuju ke depan dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia.- BERNAMA