Hari Raya pertama selepas kehilangan orang tersayang pastinya teramat berbeza, suasana juga tidak seceria kebiasaan.
Kehilangan bapa Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad tahun lalu pastinya memberi kesan buat pelakon Sharnaaz Ahmad untuk menyambul Syawal tahun ini.
Ditambah pula si ibu masih dalam tempoh idah maka perayaan kali ini dilakukan tanpa berkunjung ke mana-mana lapor Kosmo! Online.
“Ini tahun pertama tanpa bapa. Tahun pertama adalah tempoh paling sukar. Sebab itu saya tak beria-ia.
“Sebenarnya, emak masih dalam idah. Jadi, nak raya apa? Emak pun tak boleh keluar rumah. Saya pula hanya balik untuk cukup syarat. Solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur, lepas itu saya balik.
“Saya rasa saya pun akan pulang ke Kuala Lumpur malam raya pertama,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pelakon berusia 40 tahun pulang semula selepas beraya sehari di kampung demi memenuhi tuntutan kerja.
Pada masa sama dia mengakui banyak terkenang momen bersama arwah ayahnya menjadi punca dia tidak mahu meluangkan masa lebih lama di rumah keluarga.
“Tiada siapa pun di sana nak beraya sakan. Saya tetap akan balik ke kampung lagi nanti. Tapi kalau duduk lama-lama, rasa sebak pula sebab teringat arwah.
“Dulu, saya dan bapa selalu berjalan kaki bersama ke masjid untuk solat raya. Itu rutin setiap tahun dari kecil sampai dewasa.
“Pagi raya kalau berjalan dengan dia, pukul tujuh sudah sesak dengan orang ramai. Memang meriah. Sekarang, semua dah berubah,” ujarnya.
Baca juga: Hampir buta kerana bunga api, Nadeera nasihatkan ibu bapa pantau anak