Malaysia Dateline

Tajaan haji Yayasan 1MDB hukum harus, kata Mufti Sabah

Mufti Sabah Ustaz Bungsu Aziz Jaafar berkata, tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap 1,200 bakal jemaah haji tidak menjadi kesalahan dan ia satu perbuatan yang diharuskan dalam agama Islam.

Beliau menerangkan walaupun syarat wajib haji itu dikalangan yang berkemampuan, sekiranya bakal haji itu ditaja oleh mana-mana institusi atau syarikat yang masih terikat dengan sebarang bentuk pinjaman kewangan (hutang) ia juga diharuskan dalam agama Islam.

“Tidak menjadi kesalahan dari sudut pandangan Islam, sekiranya bakal jemaah haji atau umrah menerima tajaan dari mana-mana syarikat yang masih terikat dengan sebarang bentuk pinjaman kewangan (hutang).

“Haji suatu ibadah yang dijalankan ikut kemampuan. Kemampuan itu ada dua iaitu kesanggupan diri sendiri untuk menanggung keseluruhan kos menunaikan haji dan orang yang ditinggalkan dalam tempoh pelaksanaan haji cukup perbelanjaan mereka.

“Keduanya sekiranya seseorang itu tidak mampu menunaikan haji tetapi atas kemampuan orang lain dia ditaja yang mana semua atau sebahagian perbelanjaan menunaikan ibadah itu ditanggung oleh orang lain hukumnya harus.

“Melainkan perlu dipastikan pengecualian tertentu sekiranya tajaan itu diberikan daripada pihak yang tidak menepati
pematuhan syariah dalam operasi perniagaan dijalankan itu seperti menjalankan perniagaan kedai judi, kilang pemerosesan arak dan sebagainya yang jelas hukumnya diharamkan di sisi agama Islam,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditanya mengenai persoalan yang dilontarkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin,pada Isnin, yang mahu menteri agama, mufti, ulamak menyatakan kewajaran Yayasan 1MDB menaja seramai 1,200 bakal jemaah Haji dikalangan imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedangkan 1MDB sendiri menanggung hutang RM42bilion.

A Kadir melahirkan kebimbangannya jika sumber dana yang diberikan kepada bakal jemaah haji itu bukan dari sumber yang sah di sisi agama Islam dan  mempersoalkan sekiranya duit sebuah syarikat yang berhutang dan melakukan kesalahan jenayah di merata dunia boleh digunakan untuk menunaikan haji.

Kata Ustaz Bungsu Aziz lagi, sebagai sebuah syarikat konglomerat 1MDB ujarnya, melunaskan hutang dalam bentuk
perjanjian jangka panjang dan jangka pendek syarikat.

“1MDB berhutang sama ada dengan institusi kewangan atau dari sumber mana sekalipun ia adalah pihak ketiga yang tiada kaitan dengan Yayasan 1MDB untuk menaja jemaah haji.

“Sebagai sebuah syarikat 1MDB bergantung kepada kemampuan membayar balik hutangnya kerana sudah pasti ada hutang jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang perlu dilunaskan pihak pengurusan 1MDB.

“Mana ada individu dan syarikat dalam dunia ini tiada terikat dengan hutang.Jika seorang yang menunaikan haji mereka juga terikat dengan hutang kereta, rumah, peribadi dan lain-lain lagi.

“Kalau kita nak anggap mana-mana individu atau syarikat yang berhutang tidak boleh mengerjakan haji atau buat penajaan haji, sudah pasti tiada siapa akan melaksanakan ibadah haji ini,”ujarnya.

Pada Jumaat lalu seramai 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran haji daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Naji Razak menerusi tajaan Yayasan IMDB.