Malaysia Dateline

Tajikistan boleh main peranan penting jadi pintu masuk perdagangan Malaysia ke Asia Tengah

Tajikistan boleh memainkan peranan penting sebagai pintu masuk perdagangan bagi Malaysia ke Asia Tengah, kata Menteri Luar Tajikistan, Sirojiddin Muhriddin.

Beliau berkata kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia Tenggara, boleh menjadi jambatan penghubung antara Tajikistan dan negara ASEAN lain.

“Kami menggalakkan Malaysia mengkaji kemungkinan mewujudkan hab komoditi di satu zon ekonomi Tajikistan, sama ada untuk mengeksport barangannya ke Tajikistan dan negara Asia Tengah lain dan Afghanistan, serta untuk memproses dan mengimport produk dari negara itu ke Malaysia,” katanya kepada Bernama semasa wawancara eksklusif di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Tajikistan juga bersedia untuk memulakan perbincangan di peringkat lebih tinggi serta mempelawa perwakilan dari agensi dan institusi berkaitan untuk menjalin kerjasama jangka panjang dalam sektor halal.

Sirojiddin percaya hubungan antara Tajikistan dan Malaysia mempunyai potensi untuk terus berkembang dalam bidang ekonomi dan saintifik, teknikal, kebudayaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Menurut maklumat yang kami peroleh, pada 2018 Malaysia mengimport sumber mineral bernilai US$3.5 bilion, produk pertanian berjumlah US$ 800 juta dan kapas bernilai US $ 600 juta.

“Tajikistan mempunyai semua produk itu untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia. Pada masa ini, kita dapat memenuhi sebahagian keperluan Malaysia dalam sumber mineral, produk pertanian dan kapas,” katanya.

Semalam, Sirojiddin menyerahkan surat undangan Presiden Emomali Rahmon kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mempelawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawat Tajikistan.

“Saya juga amat berbesar hati dapat menyampaikan surat jemputan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk mengundang beliau menyertai persidangan antarabangsa mengenai air yang dijadual pada 18 hingga 20 Jun di Dushanbe.”

Sirojiddin mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia bermula Rabu. Ini adalah lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 2013.

— BERNAMA