Tajudddin digantung dua hari gara-gara soalan adakah abu Chin Peng di dahi Rayer

Tajudddin digantung dua hari gara-gara soalan adakah abu Chin Peng di dahi Rayer

Sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bangun bertanya adakah abu Ching Peng yang dicalit di dahi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

“Saya hendak tumpang tanya, abu itu adakah abu Chin Peng atau apa?” soal Tajuddin seperti  memetik laporan Malaysiagazette hari ini.

 Pertanyaan tersebut telah menimbulkan kemarahan Rayer dan meminta Tajuddin menarik balik perkataan tersebut yang disifatkan sebagai menghina penganut agama Hindu.

“Anda telah menghina, saya minta tarik balik kerana Barisan Nasional menghina orang Hindu,” katanya.

Suasana hingar bingar apabila kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan saling berteriak mempertahankan ahli masing-masing dan melemparkan perkataan bodoh.

Antara yang bangun adalah Sivakumar Naidu (PH-Batu Gajah) yang meminta Tajuddin menarik balik kenyataan tersebut dan disokong beberapa ahli Parlimen termasuk Ram Karpal dari Bukit Gelugor.

Turut bangun Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said

Dalam kekecohan itu, Tajuddin kemudian menarik balik perkataan tersebut, bagaimanapun perang mulut tidak terhenti di situ apabila Ram Karpal dan Rayer bangun menjawab Peraturan Mesyuarat yang dibangkitkan oleh Shahidan.

Menurut Shahidan, Rayer juga perlu diarahkan menarik balik kenyataan bahawa Barisan Nasional menghina penganut agama Hindu kerana tuduhan tersebut menunjukkan keseluruhan ahli Parlimen BN berbuat demikian.

Rayer bagaimana enggan berbuat demikian dan berhujah bahawa Tajuddin adalah dari blok Barisan Nasional justeru tidak salah untuk beliau melontarkan kata-kata tersebut.

Ketika itu Ramkarpal bangun atas Peraturan Mesyuarat 36(6) bahawa tindakan perlu dikenakan ke atas Tajuddin kerana berniat jahat.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut mencabar Datuk M. Saravanan (BN-Tapah) supaya menyatakan pendirian berhubung kenyataan Tajuddin itu.

Saravanan bangun dan menegaskan bahawa pendiriannnya adalah beliau tidak bersetuju apa-apa isu agama dibangkitkan.

Berikutan pelbagai desakan, akhirnya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan menggantung Tajuddin daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Tajuddin menyambut keputusan tersebut dengan ketawa sambil berkata, penggantungan itu tidak menjadi masalah kerana beliau pun perlu hadir ke Perhimpunan Agung UMNO.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, jika digantung empat hari pun beliau tidak ada sebarang masalah.