Malaysia Dateline

‘Tajuddin baru tahu perangai Pas, ahli Pas kena tipu hidup-hidup’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyifatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru mengetahui sikap berdolak-dalih Pas.

Dalam masa sama, beliau berpendapat ahli Pas juga dibohongi pemimpin parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berhubung kerjasama dengan Umno.

“Tajuddin baru tahu perangai Pas. Ahli Pas pun kena tipu hidup-hidup dengan pimpinan Pas.

“Pimpinan Pas kata tidak akan bekerjasama dengan Umno. Pas kata kerjasama dengan Umno macam tanggung biawak hidup. Inikan Umno yang Pas musuhi 60 tahun,” katanya di Twitter.

Mahfuz berkata demikian mengulas amaran keras Pengarah Pilihan Raya Umno itu kepada Pas agar tidak membantu Bersatu di kerusi yang ditandingi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kelmarin, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, meskipun Umno menghormati keputusan Pas untuk masih bersama Bersatu, namun, partinya juga berharap Pas akan juga kekal menyokong Umno.

“Kalau dia (Pas) tengok Bersatu bertanding di Bukit Bintang, sokonglah sebab Umno tak tanding.

“Bersatu nak tanding Kepong, tandinglah, Pas nak turun ramai-ramai berkempen untuk Bersatu pun tiada yang halang.

“Tapi kalau Pasir Salak, Bersatu tanding, Pas jangan sokong Bersatu. Kalau sokong kau siap. Warning tu,” tegas Tajuddin yang dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berkuatkuasa 11 Mei 2020 itu lagi.