Malaysia Dateline

Tajuddin datang ke Dewan Rakyat untuk mengacau, tempelak Kor Ming

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menyifatkan kehadiran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ke Dewan Rakyat adalah untuk menimbulkan kacau bilau.

Beliau berkata, disebabkan kekecohan yang timbul di Dewan Rakyat hari ini, pihaknya terpaksa menambahkan hukuman dari dua hari kepada empat hari dan Pasir Salak (Tajuddin) hanya boleh memasuki dewan pada Selasa depan.

Katanya, Tajuddin bukan datang untuk menjalankan amanah sebagai seorang ahli parlimen, sebaliknya beliau ke Dewan Rakyat sebagai pengacau.

“Saya dan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sentiasa sudi memberikan ruang dan peluang untuk bertanya, kita boleh bertikam lidah tetapi haruslah berlaku secara penuh berhemah.

“Bukannya sebagai samseng, biadap dan kurang ajar. Ini adalah sikap yang wajib dilarang sama sekali.

“Apabila speaker menjemput beliau keluar, peraturan mesyuarat jelas mengatakan beliau wajib keluar serta-merta,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan, masa yang diperlukan untuk berjalan keluar dewan kira-kira 10 saat sahaja, tetapi pihaknya telah memberikan masa lebih kurang 15 minit untuk Tajuddin keluar.

“Niatnya memang jelas untuk bersikap kurang ajar, tidak senonoh dan nak jadi hero. Saya rasa tindakan dia bukan hero, sebenarnya zero, not hero but zero.

“Masyarakat di Pasir Salak wajar mempertimbangkan semula sama ada nak pilih wakil rakyat seperti beliau,” katanya.

Tonton video: disini