Malaysia Dateline

Tajuddin digesa kaji keputusan pengurangan perjalanan tren

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digesa untuk menilai semula keputusannya untuk mengurangkan kekerapan perjalanan semua perkhidmatan rel transit di bawah Myrapid.

Jurucakap Pengangkutan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penetapan tersebut perlu dinilai semula kerana ia akan membawa kepada kesesakan semasa waktu puncak.

“Seperti yang dikongsi dalam media sosial hari ini, kesesakan berlaku di stesen-stesen tumpuan semasa waktu puncak orang awam ke tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak memaklumkan pihaknya akan mengurangkan perjalanan di setiap rel transit melibatkan semua Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel, selaras dengan keputusan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Beliau juga memaklumkan, tren di semua laluan akan beroperasi setiap 10 minit pada waktu puncak mencakupi 7 hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim berkata, apa yang penting ketika ini, penekanan wajar diberikan kepada pemeriksaan aspek-aspek yang mengakibatkan kemalangan secara terperinci.

Jelasnya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali harus bertanggungjawab dalam memastikan ketelusan siasatan memandangkan tahap kemalangan yang serius.

Kementerian Pengangkutan juga katanya perlu memantau perkembangan keadaan mangsa-mangsa dan orang awam yang terlibat.

“Kementerian wajar terus mengemaskini maklumat berkenaan prosedur keselamatan kepada rakyat supaya tidak timbul isu kebimbangan terhadap penggunaan kenderaan awam terutamanya LRT,” katanya lagi.