Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah dipecat dari jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini.
Menurut surat yang kini tular selepas disebarkan melalui Twitter oleh Dr Afif Bahardin, Pegawai Khas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul menandatangani surat penamatan tugas itu.
Penamatan tugas ini kemudiannya disahkan oleh Kementerian Kewangan.
Tajuddin diserang ekoran sidang media beliau sehari selepas kemalangan yang melibatkan dua LRT antara stesen KLCC dan Kampung Baru di Kuala Lumpur yang mencederakan lebih 100 orang dan 47 darinya cedera parah.
Pagi tadi #PecatTajuddin tular di laman Twitter ekoran sidang media itu.
Petisyen juga dibuat bagi mendesak Tajuddin meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana dan ditandatangani lebih 61,000 orang setakat jam 1 petang tadi.
Petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org itu dilancarkan 18 jam lalu susulan kegagalan dan tiada rasa sensitif Ahli Parlimen Pasir Salak dari Umno itu dalam nahas membabitkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) kelmarin.
Menurut petisyen itu, Tajuddin sama sekali tidak layak menduduki jawatan itu kerana bersikap angkuh dan bongkak seperti yang berlaku pada sidang media semalam.