Malaysia Dateline

Tajuddin jadi duta: Rakyat muak orang berkepentingan kongsi ‘kek’

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan rakyat sudah muak dengan adegan berkongsi ‘kek’ dalam kalangan mereka yang berkepentingan terutama ketika situasi ekonomi sedang kritikal.

Menurutnya, pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebagai membelakangi sistem pelantikan Duta Malaysia ke negara asing sedia ada.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut sebagai bermotifkan politik.

“Di manakah rasionalnya pelantikan Ahli Parlimen yang juga ahli politik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia?

“Sistem pelantikan Duta Malaysia ke negara asing yang diamalkan selama ini dibelakangkan akibat motif politik,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak ketika berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu menggunakan analogi “memperbesarkan kek ekonomi” sebelum dihiris beri kepada rakyat selain mempertahankan kenyataannya “Cash is King” dengan menegaskan “king” yang dimaksudkan ialah rakyat.

Terdahulu, Tajuddin, 74, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan akan melapor diri sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia akhir bulan ini.

Bagaimanapun, orang ramai mempersoal pelantikan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd tersebut yang tahun lalu dikecam teruk kerana dilihat tidak sensitif ketika mengendalikan sidang media berhubung nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat sistem pelantikan bermotifkan politik akan membuka “flood gate” terhadap kerosakan sistem pemilihan duta yang sedia ada pada masa hadapan.

“Indonesia adalah merupakan rakan strategik negara kita buat sekian lama. Mengisi posisi yang penting ini sepatutnya dibuat melalui proses yang sewajarnya bukan melalui pelantikan politik,” kata Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH itu.

Dalam masa sama, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menjelaskan isu pelantikan tersebut yang disifatkannya mengundang keresahan banyak pihak.

Tajuddin Abdul Rahman

Sementara itu, Ismail Sabri dalam reaksinya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 semalam berkata, pelantikan Tajuddin itu turut mendapat persetujuan daripada Presiden Indonesia.

Ismail juga berkata, beliau difahamkan Tajuddin sudah menerima surat persetujuan daripada Joko Widodo (Jokowi).

“Beliau (Tajuddin) orang politik lama dan berpengalaman. Kita tunggulah dia menjalankan tugas, kita tengoklah,” kata Ismail dipetik BH.

Untuk rekod, Tajuddin dilantik Prasarana sebagai Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 11 Mei 2020 bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim hingga 26 Mei 2021.

Tajuddin yang berasal dari Kampung Gajah, Perak merupakan pemegang Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada 1972 dari Universiti Malaya (UM) dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun sama.

Pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula 2013 hingga 2018, bekas Pengarah Piliharaya Umno itu dikatakan banyak terlibat dalam sektor perniagaan dan korporat sebelum menceburi bidang politik.

Baca juga Ahli Parlimen DAP persoal Tajuddin jadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Baca juga 4 tahun diliwat, mangsa akhirnya buat laporan polis