Malaysia Dateline

Tajuddin janji dengan Najib akan letak jawatan

Pengerusi Prasarana Datuk Tajuddin Abdul Rahman berjanji akan meletakkan jawatan pada masa yang sesuai sebaik sahaja diarahkan oleh Umno.

Bahkan Tajuddin yang kini menjadi sasaran kecaman netizen susulan insiden pelanggaran Kereta Api Transit Aliran Ringan (LRT) mengaku kesilapannya dalam mengendalikan sidang media baru-baru ini.

“Dia akui sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta bermaklumat.

“Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” demikian menurut Najib Tun Razak selepas menghubungi Tajuddin.

Dalam panggilan itu, Najib menuntut Tajuddin meminta maaf atas cara pengendalian sidang media kerana ia adalah tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh.

Selain itu, Tajuddin juga akan meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera dari RM1,000 ke satu angka yang lebih memuaskan.

“Ini bukan pampasan tetapi bantuan kecemasan untuk mangsa.

“Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari Perkeso dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja.

“Tajuddin berjanji dia akan memastikan siasatan penuh punca tragedi tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menjadi kecaman netizen apabila beliau tidak rasa sensitif dalam nahas membabitkan pertembungan dua LRT yang menyebabkan 47 penumpang cedera parah dan ratus lagi cedera ringan.

Beliau dilihat tidak serius dalam mengendalikan sidang media semalam dengan mengatakan keretapi ‘bercium’ sesama sendiri.