Malaysia Dateline

#TajuddinLetakJawatan sohor kini

Tanda pagar #TajuddinLetakJawatan sohor kini di Twitter pagi ini dengan sejumlah lebih 7,000 ciapan telah menggunakan tanda pagar itu.

Sejak semalam, pengguna Twitter dilihat mengecam Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman susulan sidang medianya berkenaan nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) kelmarin.

Rata-rata warganet tidak berpuas hati dengan sikap buruk Ahli Parlimen Pasir Salak dari Umno itu menjawab soalan pemberita semalam termasuk kenyataannya yang menyebut tentang “first thing in the morning”.

Selain menegaskan tidak akan meletakkan jawatan ekoran tragedi terburuk pengangkutan tren di negara ini, Tajuddin menunjukkan rasa tidak senang terhadap pihak yang dianggapnya cuba membuat provokasi berkaitan ketiadaan dia pada malam tragedi tersebut.

“Bila kita mengaku pemimpin Melayu Islam, akhlak kena bagus,” ciap pengguna Twitter, Jon Baker.

Wakil rakyat Pasir Salak sejak 2008 berkenaan juga dilihat tidak profesional sepanjang sidang media tersebut termasuk apabila ditanya berkenaan situasi di laluan bawah tanah lokasi kemalangan tren LRT di tengah-tengah ibu negara itu.

Dia boleh ketawa ketika menjawab soalan pemberita ketika nahas paling teruk dialami LRT sejak lebih 20 tahun beroperasi itu telah menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan.

Normal… only the two cars together. They kiss each other,” jawab bekas pesakit Covid-19 tersebut selamba sambil ketawa dalam sidang media yang menggunakan bahasa rojak itu.

Ada yang turut membandingkan latar belakang Tajuddin yang pernah dipecat oleh Majlis Tertinggi Umno kerana disyaki terbabit dalam politik wang RM6 juta untuk jawatan Ketua Bahagian Pasir Salak dengan Pengerusi Prasarana terdahulu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang dilantik ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana berkuatkuasa 11 Mei 2020 menggantikan Zaharah yang meletakkan jawatan pada 7 Mei tahun lalu.

Cara Tajuddin menjawab soalan pemberita asing dari agensi Phoenix TV China yang bertanyakan mengenai kebimbangan akan kemungkinan terdapat pesakit Covid-19 turut menjadi mangsa kemalangan tren LRT juga dilihat menjengkelkan.

Bahkan, selesai sidang media, Tajuddin bertanyakan kepada wartawan itu berasal dari mana.

No wonderlah,” balas Tajuddin ringkas selepas pemberita itu menjawab dia berasal dari China.

Pengguna Twitter, Hezri menyifatkan hal tersebut sebagai memalukan negara dan situasi sama seperti itulah yang wujud untuk semua ahli Parlimen yang dilantik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tidak kurang juga yang secara sinis menganggap Tajuddin berada di bawah pengaruh alkohol.

“Dia mengingatkan saya pada pakcik saya yang mabuk,” kata Murley.

Tajuddin yang berasal dari Kampung Gajah, Perak merupakan graduan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1972.

Dikenali sebagai antara ahli Dewan Rakyat dari Umno yang kerap beperang mulut dalam sidang Parlimen, dia turut pernah menjadi Pengurus Jualan di Cycle & Carriage (M) Sdn Bhd, iaitu pemegang francais dan pengedar tunggal kereta buatan Mitsubishi Motors.

Tajuddin juga pengasas dan peneraju sebuah kumpulan automotif yang terbabit dalam pengimportan, pemasangan serta pengedaran kereta penumpang dan komersial Mitsubishi dan Isuzu.

Tajuddin adalah Pengarah Urusan United Assembly (Services) Sdn Bhd, United Straits Fuso Sdn Bhd, Automotive Corporation ( M ) Sdn Bhd dan United Cycles Sdn Bhd.

Di samping industri automotif, Tajuddin juga terbabit dalam pembangunan hartanah dan pendidikan tinggi swasta.

Tajuddin di laluan bawah tanah lokasi pertembungan dua tren LRT di tengah-tengah ibu negara sehari selepas kemalangan.