Tajuk debat Piala Tun Razak tidak harmoni langgar prinsip perundangan, kata PUM

Tajuk debat Piala Tun Razak tidak harmoni langgar prinsip perundangan, kata PUM
Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa pihak polis dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) k menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang sengaja melanggar prinsip undang-undang sedia ada.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, PUM turut kesal terhadap tindakan pihak penganjur yang tidak prihatin dengan pemilihan tajuk bagi Debat Piala Tun Razak ke 8, yang berlangsung pada 11-13 Oktober 2019 yang baru berlalu.

Katanya pelihan tajuk-tajuk yang dikemukakan itu jelas tidak mencerminkan naluri dan nilai yang ingin dibina dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

“Tajuk mengenai penulisan semula al-Quran sangat tidak wajar, bahkan ianya dilihat sebagai usaha merendah-rendahkan martabat Islam.

“Selain itu, perkara mengenai homoseksual juga merupakan perkara yang tidak diterima dalam negara ini. Perkara ini bercanggah dengan akidah Islam.

“Manakala pemertabatan Undang-undang Syariah yang telah berjalan secara harmoni dengan perundangan sivil juga tidak perlu dipersoakan kewujudannya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, PUM berpandangan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, adalah antara perkara yang merupakan satu bentuk-bentuk provokasi yang boleh mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat Islam di negara ini

“PUM juga percaya bahawa terdapat juga dikalangan non-Muslim yang tidak selesa dengan tajuk-tajuk debat yang dikemukakan sebegitu rupa.

“Ia menggambarkan betapa jijiknya pemikiran yang masih ada terutama pihak penganjur yang menganjurkan debat ini.

“PUM dan masyarakat umumnya tidak boleh menerima penjelasan pihak penganjur yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertahankan tindakan mereka dalam hal ini,” ujarnya.