Tak ada duit nak beli komputer, 3 remaja sanggup culik rakan sekolah untuk minta wang tebusan

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes jenayah yang berlaku di dunia ini, lebih menyedihkan kebanyakan kes melibatkan orang yang dikenali.

Menurut Ary News, tiga pelajar sekolah menengah di Bengal Barat, India mengaku bersalah membunuh rakan mereka yang berusia 14 tahun

Tujuan utama menculik mangsa adalah untuk meminta wang tebusan bagi membeli sebuah komputer kerana ingin bermain permain video.

Lebih menyedihkan, permintaan mangsa untuk makan sejenis pencuci mulut, rasgulla dan minum minuman sejuk ditunaikan sebelum mangsa dicekik tiga rakan.

Media India turut melaporkan bahawa mayat mangsa yang diikat di dalam guni ditemui di sebuah kolam di bandar Krishnanagar.

Polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek dan membawa mereka ke sebuah mahkamah jenayah di Krishnanagar.

“Mangsa hilang petang Jumaat lalu ketika pergi ke kedai untuk membeli barang.

“Ibunya menerima panggilan yang meminta wang tebusan 300,000 rupee (RM16,894) pada keesokan harinya dan dia membuat laporan polis,” kata seorang pegawai tempatan.

Suspek memilih untuk membunuh mangsa selepas mengesyaki si ibu tidak mampu membayar wang tebusan yang diminta.

Malah mereka juga merasa bimbang akan ditangkap polis jika membuat keputusan untuk membebaskan mangsa.

Sumber tempatan menambah bapa mangsa dikatakan sudah lama meninggal dunia dan ibunya hanya menyara hidup dengan bekerja menjaga orang sakit.

Baca juga: Ikat anak pada tiang sebab bising masa makan, ibu bapa siap rakam sebelum masuk semula untuk habiskan makanan