Malaysia Dateline

Mohd Zuhdi Marzuki

Tak ada kerusi pun Pas tetap akan ‘bertanding’ di Sabah

Sama ada Pas diberikan kerusi atau tidak, parti itu tetap bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhir bulan ini, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Menurutnya, ini kerana calon-calon yang dihantar oleh Umno, Bersatu dan rakan-rakan yang lain atas nama maslahah ummah sebenarnya adalah turut mewakili Pas.

Bagaimanapun beliau mengakui sememangnya sedih apabila parti itu tidak diberikan laluan bertanding dalam Pilihanraya Sabah kali Ke-16 ini.

“Kegiatan siasah yang diusahakan oleh Pas pun semakin meluas, cuma di dalam medan ini cabarannya lebih hebat menyebabkan segala gerak langkahnya perlu berhati-hati.

“Soal bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini adalah secebis daripada kanvas keseluruhan kegiatan Pas di Sabah.

“Maka jentera Pas akan turun seratus peratus membantu wakil mereka yang bertanding,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi komponen parti mereka dengan BN sebanyak 31 kerusi.

PN pula bertanding di 29 kerusi, masing-masing 19 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS, satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN pula bertanding di 15 kerusi.

Pas pula dilaporkan tidak bertanding di mana-mana kerusi biarpun melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan mahu bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Namun, dengan perebutan kerusi antara Umno dan Bersatu, Pas dilihat tersisih, tidak dipeduli serta tidak dianggap penting dalam politik Sabah.

Pas juga disifatkan sebagai ditimpa malang apabila sama sekali tidak dijemput oleh PN atau BN dalam majlis pengumuman calon kedua-dua gabungan tersebut.

Sementara itu, Mohd Zuhdi cuba menempelak AMANAH dengan mengatakan parti itu antara yang bersorak gembira, menyindir Pas yang dipinggirkan di Sabah.

“Mereka menyatakan, walaupun mereka baru sahaja ditubuhkan beberapa tahun lalu, mereka tetap diberi laluan oleh Warisan Plus bertanding di Sabah.

“Bagi mereka yang penting mesti bertanding, walaupun belum tentu kerusi yang mereka tandingi akan menang. Bagi PAN bertanding kerusi adalah penting untuk menunjukkan mereka wujud di pentas politik Sabah,” katanya.