Malaysia Dateline

‘Tak ada sebab harga minyak tidak boleh turun’

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan untuk menurunkan harga minyak bukan suatu yang mustahil dalam keadaan sekarang termasuk membabitkan minyak sawit jika kerajaan yang memerintah mempunyai keinginan berbuat demikian.

“Kalau dengan harga minyak sekarang tak ada sebab (harga) minyak tak boleh turun.

“Dengan harga minyak sawit sekarang, tidak ada sebab sebab minyak kelapa sawit, terutama minyak mentah dan minyak makan tidak boleh diturunkan.

“Yang tak boleh diturunkan kerana pihak penguasa memikirkan cara nak menyelamatkan korporat di atas dan kita pula memikirkan cara menyelamatkan rakyat di bawah, itu bezanya,” katanya.

Penasihat PH itu berkata demikian ketika berucap sempena pengulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di Shah Alam, semalam.

Dalam masa sama, Anwar berkata, harga minyak tidak dapat diturunkan seperti dijanjikan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.

“Sekarang kalau berjaya dan kali ini janji kita kepada rakyat, insya Allah kita akan tunai semua,”

Sehubungan itu, Anwar berkata jika rakyat memikirkan untuk menyelamatkan mutu pendidikan negara supaya menjadi lebih baik, selain kemudahan untuk keluarga yang sakit, pendapatan serta upah yang lebih baik, maka kerajaan yang sudah 60 tahun tidak mampu membawa perubahan itu mesti ditolak.