Malaysia Dateline

Tak akan berkompromi, PH gesa Ismail beri jaminan RUU Anti Lompat Parti dibentang dalam masa terdekat

Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dengan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen yang sepatutnya dibentangkan Isnin depan dan mendesak Perdana Menteri memberi jaminan RUU berkenaan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

PH menerusi kenyataan bersama mengulangi pendirian mereka bahawa meluluskan RUU berkenaan merupakan syarat utama Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

“Amatlah jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

“Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.

“Justeru, Pakatan Harapan akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; DAP Lim Guan Eng; AMANAH Mohamad Sabu; dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu bahawa pembentangan RUU Anti Lompat Parti terpaksa ditangguhkan ekoran tidak mendapat persetujuan Kabinet untuk dibentangkan.

Beliau berkata, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas yang ditetapkan sebelum ini bagi membuka ruang melanjutkan kajian mengenai definisi lompat parti.

Ismail perlu nyatakan komitmen RUU akan dibentang Isnin ini

Mengulas lanjut PH mengingatkan bahawa draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MOU yang telah bermesyuarat semalam.

Ketua Pembangkang juga dimaklumkan telah menyampaikan pendirian Pakatan Harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.

“Kami turut menggesa agar Menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan
pada 11hb April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti,” tambahnya.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/ada-mou-pun-ruu-anti-lompat-parti-dilengahkan-bagaimana-kalau-tidak-ada-mou-pasti-tak-dibentang-dan-diluluskan/

Baca juga: https://themalaysialife.com/manusia-bertopengkan-syaitan-bapa-perkosa-anak-hingga-mati/