Malaysia Dateline

Tak ambil gaji tiga bulan tapi MP ada peruntukan tahunan RM5 juta

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pengumuman bahawa Jemaah Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan tidak mampu mengimbangi kegagalan total kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membendung wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan bersama Majlis Presiden PH hari ini, tindakan kerajaan PN itu juga tidak meredakan rasa takut rakyat akibat Covid-19 ketika ramai rakyat sekarang terdesak mahukan suntikan vaksin.

“Berapa sangat yang para Menteri dan Timbalan Menteri hilang dengan tidak mengambil gaji, apabila mereka masih menerima elaun bulanan Ahli Parlimen, malah lebih penting dari itu mereka masih mempunyai peruntukan tahunan RM5 juta.

“Menteri-menteri tidak perlu menggunakan elaun Ahli Parlimen mereka untuk biaya staf dan pejabat atau untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan mereka,” selar PH.

Kenyataan bersama itu membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mengulangi kembali tuntutan agar Parlimen mesti bersidang secepat mungkin sebagai langkah pertama menuju usaha menggarap seluruh masyarakat demi menangani wabak Covid-19.

“Semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan kawasan yang sama untuk membantu semua penduduk di kawasan mereka, sehingga pandemik Covid-19 ini tamat.

“Covid-19 memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira mereka penyokong PN mahupun PH,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Majlis Presiden PH kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion suntikan tunai baharu dalam pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Plus diumum malam tadi.

PH kekal berpendapat RM45 bilion suntikan tunai diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan teruk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap ekonomi keseluruhannya.