Sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak di Seremban yang mempunyai 131 unit rumah dilaporkan mempunyai tunggakan bil kira-kira RM1 juta sejak lebih 20 tahun lalu.
Ia antaranya disebabkan ada penghuni pangsapuri kos rendah itu yang tinggal secara percuma lebih dua dekad sehingga mengumpul tunggakan sewa lebih RM30,000.
Lebih membimbangkan, sebahagian penyewa juga mempunyai tunggakan bil air menyebabkan pihak berkuasa memotong bekalan air, namun ada yang licik membuat sambungan haram.
Memetik Harian Metro, Adun Lobak, Chew Seh Yong berkata, sebelum ini keadaan di PPR berkenaan sangat teruk dari segi kebersihan, kadar jenayah, kemudahan awam dan kesedaran awam.
“Sejak lima tahun lalu kami perlahan-lahan masuk ke PPR ini dan melakukan perubahan dengan peruntukan hampir RM1 juta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan individu persendirian.
“Kami mengecat semula bangunan, membaik pulih rumah sampah, menurap jalan, menukar pagar dan mengindahkan suasana. Selain itu kami membuka peluang pekerjaan dan menjalankan sesi kesedaran,” katanya seperti dilapor.
Pada masa sama Chew mendedahkan, seorang lelaki berusia 49 tahun gagal membayar tunggakan sewa selama 20 tahun disebabkan mengalami lumpuh dan tidak lagi dapat bekerja.
“Ada penyewa yang mempunyai tunggakan lebih RM30,000 sedangkan sewa di sini hanya RM100 sebulan manakala RM50 untuk penyelenggaraan. Ini bermakna dia memang tidak membayar sewa sejak 20 tahun lalu.
“Lelaki yang berusia 49 tahun ini dulu bekerja sebagai tukang sapu, namun kini tidak mampu bekerja lagi kerana mengalami lumpuh dan kini tinggal dengan anaknya,” katanya.
Jelas beliau, bagi mengatasi masalah itu, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melakukan pemutihan dengan mengeluarkan perjanjian baharu kepada penyewa.
“Pihak MBS memberi amaran akan mengunci rumah kepada penyewa yang gagal melunaskan tunggakan seterusnya menamatkan kontrak.
“Bagaimanapun, kami faham dengan kesusahan yang dialami mereka. Penyewa boleh membayar tunggakan secara ansuran. Tidak kisah jumlahnya, asalkan ada kemahuan untuk bayar,” katanya.