Tak berkira jual durian murah-murah, peniaga raih hasil lumayan 20 tan buah terjual setiap hari

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peniaga durian di Kota Bharu tidak menang tangan melayan pelanggan yang hadir ke kedainya setiap hari selepas dia menjual raja buah itu pada harga jauh lebih murah berbanding peniaga-peniaga lain.

Berkat pendekatannya yang menjual pada harga murah, duriannya kini mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu terjual 20 tan sehari.

Menurut Harian Metro, Muhammad Shafian Amran, 32, sejak Jun lalu menjual 10 jenis durian termasuk Musang King dan Black Thorn, namun kebanyakan orang ramai menyerbu ke kedainya adalah untuk mendapatkan durian kampung.

Harga durian kampung yang dijual adalah hanya RM6.80 sekilogram berbanding peniaga lain yang mencecah RM10 bagi sekilogram.

Muhammad Shafian berkata niatnya jual durian pada harga murah bagi membolehkan semua orang mampu dan merasa untuk makan raja buah berkenaan.

“Setiap perniagaan mesti perlu fikirkan untung namun bagi saya selain keuntungan, saya perlu ada simpati juga terhadap pembeli.

“Dengan meletakkan harga yang lebih murah, Insya-Allah mereka yang kurang berkemampuan juga mampu membeli dan menikmati buah durian ini.

“Atas faktor harga yang rendah juga menyebabkan kedai saya diserbu pelanggan terutama hari minggu sehingga terpaksa beratur panjang menunggu giliran,” katanya seperti dilapor.

Baca juga: Undi Peserta PAKS Rantau Manis Penentu Pemenang PRK Nenggiri?