Malaysia Dateline

Tak ‘cool’ kalau anak muda tak celup jari

Kurang tiga jam lagi pusat mengundi akan ditutup tetapi jika anda antara 10.6 juta pengundi muda yang enggan keluar membuang undi, lebih baik lihat kuku di jari telunjuk anda sekarang.

Mengapa? Ketika rakan sebaya anda iaitu kelompok berusia 18 hingga 39 tahun sudah dan sedang beratur di pusat mengundi, anda sebenarnya boleh dianggap tidak ‘cool’ jika tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

PRU kali ini dianggap ibu segala pilihan raya dan bersejarah memandangkan ini kali pertama pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun, manakala 4,614,429 berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Sebanyak 8,958 pusat mengundi dan 38,348 tempat mengundi (saluran) dibuka di seluruh negara.

Sementara itu, di TikTok sudah dibanjiri dengan perkongsian bukti sudah membuang undi dengan menunjukkan jari yang dicelup dakwat.

Ramai pengundi muda nampaknya teruja beratur dan membuang undi. Rugilah anda jika tidak sama dapat berkongsikan detik-detik PRU15 ini.

Namun, masih ada waktu lagi sebelum pusat pengundi ditutup jam 6 petang ini untuk anda keluar memilih wakil suara anda ke Parlimen. Keluarlah sekarang untuk mengundi!