Malaysia Dateline

Tak dapat bergerak banyak, timbalan menteri ‘wang helikopter’ dicemuh

Reaksi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal terhadap teguran seorang ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengundang cemuhan.

Ketua sayap parti Bersatu itu dikecam selepas memberitahu tidak dapat bergerak ke banyak kawasan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Maklum, InsyaAllah akan usahakan. Minta maaf banyak-banyak sebab tak dapat bergerak banyak lagi.

“Mohon sama-sama doakan agar kadar jangkitan Covid-19 surut dan PKP dapat ditamatkan secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, pengguna Facebook, A’azam Melbourn menegur Fayhsal supaya pada masa akan datang memberitahu kedatangan senator muda berusia 33 tahun itu terlebih dahulu ke tempatnya.

“Bukan masa nak pemilihan saja baru terhegeh-hegeh nak call. Maaf di atas teguran,” katanya dalam satu hantaran Fayhsal berkenaan Dialog Belia bersama pemegang taruh belia tentang Belanjawan 2021.

Ekoran maklum balas Fayhsal itu, warganet menempelaknya dengan menegaskan rakyat bebas sahaja bergerak untuk urusan kerja dan setelah mendapat kebenaran polis.

“Tak dapat bergerak? YB selaku pemimpin kerajaan ada masalah nak bergerak? Surat sokongan nak bagi kepada polis tidak cukup kuatkah?

“Macam kita rakyat marhaen ini dapat saja bergerak ke mana-mana atas urusan kerja. YB jangan bagi alasan tidak munasabahlah,” tegas Ainatul Madihah.

Hal sama juga dilontarkan Hamezi Berahim dengan menyifatkan sebagai seorang timbalan menteri tiada masalah untuk bergerak atas urusan kerja.

Dia sendiri katanya dapat melakukan perjalanan rentas negeri atas alasan kerja.

“Tak dapat bergerak? Luar biasa. Takkan timbalan menteri tak cukup power lagi.

“Aku selamba saja ambil ikan dari SP (Sungai Petani, Kedah) ke Penaga, Pulau Pinang. Tunjuk surat saja atas alasan kerja. Lepas saja polis.

“Hang yang timbalan menteri pun susah nak gerak? Di Sabah, boleh saja bergerak,” kata Hamezi lagi.

Terdapat juga respon warganet terhadap alasan Fayhsal itu dengan ‘cetak duit’.

“Bila nak cetak duit YB,” perli Muhamad Raziz Rahim.

Fayshal ketika ditemubual radio BFM pada 16 November lalu menyarankan agar Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang baru, lebih dikenali sebagai dasar ‘wang helikopter’, untuk diberi kepada golongan miskin dan yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.