Wakil rakyat Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim kekal dengan pendirian untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun parti diwakilinya membuat pindaan baharu dalam perlembagaan pada Sabtu lalu.
Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu itu menyatakan bahawa keahlian mana-mana wakil rakyatnya akan terlucut serta-merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Oleh yang demikian, enam Ahli Parlimen Bersatu diminta untuk mengosongkan kerusi sekiranya mereka kekal dengan pendirian untuk menyokong pemerintahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun menegaskan bahawa dirinya bersedia untuk mencabar pindaan perlembagaan tersebut di mahkamah jika ia diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Jelasnya, hal ini kerana keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Bersatu berhubung pindaan Perkara 10 itu perlulah dirujuk ke mahkamah kerana ia membabitkan undang-undang besar, lapor Berita Harian.
“Sekiranya ia diluluskan oleh ROS, saya sendiri yang akan mencabar perkara itu di mahkamah,” kata Azizi yang turut memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Azizi juga mengakui tidak terkesan dengan keputusan dibuat Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Khas, kelmarin kerana ia merupakan hak parti.
Malah keputusan tersebut disifatnya sebagai sekadar satu bentuk ugutan kepada Ahli Parlimen parti yang lain supaya tidak berbuat tindakan sama iaitu menyokong Perdana Menteri.
“Pendirian saya tetap sama, akan terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya sokong, bukannya lompat parti. Apa yang saya lakukan ini, demi pengundi saya di Gua Musang.
“Sebenarnya, ramai lagi Ahli Parlimen Bersatu yang sedang menunggu giliran untuk mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka hanya menunggu masa yang sesuai.
“Malah, perkara ini juga sudah diketahui oleh kepemimpinan Bersatu di mana ia menyebabkan pindaan Perkara 10 dibuat kerana bimbang lebih ramai berbuat sedemikian.” Ulasnya lagi.
Selain Azizi, lima lagi Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).