Tak ‘ghairah’ tunjuk kemewahan, Ryan Bakery akui banyak benda kena belajar

Oleh MALAYSIADATELINE

Nama personaliti media sosial, Ryan Bakery semakin dikenali ramai kerana video pendek inspirasi dari zaman kanak-kanak.

Sehingga kini, mukanya sudah terpampang untuk promosi banyak produk di media sosial membuatkan tawaran pekerjaan buatnya semakin banyak.

Meskipun dilimpahkan dengan pelbagai rezeki, pemuda berusia 28 tahun itu tidak akan sesekali menunjukkan kemewahan hidupnya kepada masyarakat lapor Harian Metro.

Personaliti media sosial terkenal, Ryan Bakery memaklumkan tidak berhasrat untuk menunjukkan kemewahan hidupnya kepada masyarakat umum.

“Saya memang takkan tunjuk kemewahan di mana-mana medium. Nak menunjuk-nunjuk untuk apa? Tiba-tiba esok dah kena tarik mana kita tahu. Jadi tak perlulah buat begitu.

“Kadang-kadang saya tengok banyak terjadi kes begini. Ghairah tayang kemewahan tapi hujungnya tak berapa cantik dan akhirnya malu. Mana nak hadap dengan mulut-mulut netizen lagi.

“Saya sentiasa kekal jadi diri sendiri. Ada duit lebih, saya buat apa yang patut dan apa yang perlu.

“Kalau dulu saya tak tahu bab zakat dan cukai pendapatan, sekarang saya bayar zakat dan cukai pendapatan. Kena buat perkara ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sejak bekerja sendiri, Ryan mengakui situasinya berbeza malah banyak perkara perlu dipelajari semula daripada mereka yang berpengalaman.

“Jadi sekarang saya lebih kepada uruskan sendiri. Banyak lagi benda saya kena belajar dengan orang lain yang mahir dan berpengalaman. Saya masih dalam proses susun atur hidup.

“Dalam masa sama, karier saya sebagai pencipta kandungan juga ada cabaran tersendiri. Contohnya seperti kes boikot produk Israel sebelum ini. Untuk elak daripada kontroversi saya terpaksa lepaskan tawaran.

“Waktu itu saya dah shooting beberapa iklan dan buat keputusan pulangkan balik bayaran sebab tak nak berlaku masalah. Syukur pihak terbabit dapat terima keputusan saya,” katanya.

Baca juga: “Jangan pulang Malaya dengan mayat” – Baby Shima terima ugutan bunuh, buat laporan polis