Tak guna laungkan ketuanan Melayu kalau jadi kuli orang, kata Mahathir

Tak guna laungkan ketuanan Melayu kalau jadi kuli orang, kata Mahathir

Tun Mahathir ketika memberi ucaptama dan merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di KLCC hari ini

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tabiat orang Melayu yang mahu menjadi kaya dengan cepat menyebabkan usaha kerajaan untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal .

Malah katanya, tabiat orang Melayu itu menyebabkan DEB yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu ekonomi mereka akhirnya membuatkan bukan bumiputera yang berjaya.

Ini kerana katanya, kaum bukan bumiputera menggunakan peluang dengan membeli kontrak daripada orang Melayu kemudian berniaga akhirnya menjadi jutawan.

“Untuk menentukan bumiputera masuk dalam bidang perniagaan misalnya kerajaan bagi lesen import (AP) kereta terpakai, ramai yang dapat AP secara percuma daripada kerajaan tetapi jual semula AP dengan harga RM8,000 satu AP, kalau 10 AP dapat RM80,000. Jual AP tak kaya selama-lamannya sebab dapat wang banyak tidak diuruskan dengan baik.

“Berapa kerat sahaja yang guna AP untuk perniagaan mereka. Orang yang beli AP pula dapat membina perniagaan lebih besar. Kita jadi papa kedana juga,” katanya.

Dr Mahatahir berkata demikian ketika merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera 2018 ‘Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu’ di KLCC yang berlangsung pada 9.00 pagi tadi.

Katanya, begitu juga dalam pemberian kontrak makmal komputer kepada bumiputera akhirnya makmal runtuh kerana menggunakan bahan-bahan yang tidak berkualiti demi mengaut keuntungan.

“Ini pengalaman saya. Sedih dan dukacita ramai buat makmal komputer tidak berjaya. Ini juga kesalahan kerajaan kerana bagi kepada mereka yang tidak mampu. Usaha kita untuk menjayakan DEB gagal. Ini bukan cerita dongeng,”ujarnya.

Katanya, bangsa yang maju kerana budaya dan pegangan hidup yang membina serta mengamalkan nilai hidup yang memberi kejayaan kepada bangsa itu sendiri.

“Apabila dapat peluang kita guna jangan jual. Tak guna laungkan ketuanan Melayu, kalau ketuanan Melayu jadi kuli orang,” katanya.

 

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0