Tak habis dengan cerita hantu! Peniaga R&R Perasing kesal dengan kisah seram pemandu lori

Oleh MAISARAH AISYA

Makhlus halus ini dimana-mana sekalipun ada, di tempat yang ada orang ramai atau tempat terbiar.

Namun ramai dilihat terlalu mempercayai cerita hantu hingga sanggup berhenti mengunjungi tempat yang dinyatakan.

Tular mengenai seorang pemandu lori yang berkongsi kisah seram mengenai kawasan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2).

Pemandu lori itu mendakwa diganggu makhluk halus ketika memandu sendirian menerusi satu video dimuat naik di aplikasi TikTok sehingga meraih 1.6 juta tontonan.

Pemandu itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu di sebuah kawasan berhampiran R&R Perasing Kemaman.

Kisah yang dikongsi dua minggu lalu memberi kesan kepada para peniaga di kawasan itu hingga menjejaskan antara 50 hingga 80 peratus perniagaan masing-masing.

Menurut Berita Harian, seorang peniaga yang dikenali sebagai Zuraida kesal dengan dakwaan pemandu lori terbabit selepas ramai mengelak daripada berhenti di situ.

“Kami berharap orang ramai tidak terpengaruh dan percaya dengan dakwaan itu.

“Memang berbeza dari kebiasaan kerana pengunjung tidak lagi berani untuk singgah di sini, terutamanya waktu malam.

“Kesan daripada dakwaan itu perniagaan kami merudum di antara 50 hingga 80 peratus sehingga ada di antara kami terpaksa membuang makanan kerana tidak habis dijual,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Malah salah seorang pekerja juga runsing memikirkan pekerjaan mereka akibat cerita yang diviralkan.

“Kita sebagai pekerja turut bersimpati dengan majikan kami dan berharap pelanggan kembali singgah ke sini

“Ada peniaga dapat sekitar RM50 sehari dan ada yang mengambil keputusan menutup perniagaannya dengan lebih awal,” ujar pekerja tersebut.

Kalau nak diikutkan semua hentian rehat dan rawat itu berhantu kerana hanya dikunjungi pada waktu siang.

Tak salah nak kongsi pengalaman tapi elak maklumkan nama tempat kerana seperti anda, mereka juga menggunakan kawasan tersebut untuk mencari rezeki.

Baca juga: Aeril Zafril jual Lamborghini kuning yang berharga RM2.2 juta, niat sebahagian hasil diderma kepada Palestin