Tak hirau larangan pengawal keselamatan, lelaki selamba memancing di pusat beli-belah

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan aksi seorang lelaki yang selamba memancing di sebuah pusat beli-belah teletak di Seri Kembangan, Selangor tular di media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, lelaki itu bukan sahaja bertindak di luar kebiasaan malah langsung tidak menghiraukan larangan dari pengawal keselamatan yang bertugas di pusat beli-belah berkenaan.

Berdasarkan rakaman berdurasi 55 saat yang dimuat naik menerusi platform TikTok itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku di pusat beli-belah The Mines, pada Ahad lalu.

Tindakan pemuda berkenaan yang tidak mengalah untuk menangkap hidupan laut berjaya meraih perhatian ramai termasuklah pekerja restoran dan pengunjung kompleks tersebut.

Walau bagaimanapun, individu terbabit dilihat langsung tidak berjaya untuk melakukan sebarang tangkapan walaupun sudah berusaha beralih di beberapa lokasi berbeza.

@hanzazkhan

Replying to @norfadilah17 Dia Punya Hati Kering Memang Tak Boleh Bawak Bincang. Nasib Brother Ni Tak Kene Cekup Dengan Pak Guard Mall. At Last Dia Blah Sebab Kumpau 😄😄😄 #kakipancing #hatikering #kumpau #themineshoppingmall #fyppppppppppppppppppppppp #share #follow

♬ Oh No – Kreepa

Meskipun tidak berjaya membuat tangkapan, individu itu dikatakan bernasib baik kerana tidak dikenakan tindakan oleh pengawal keselamatan atau pihak pengurusan beli-belah atas tindakannya itu.

“Dia punya hati kering memang tak boleh bawa bincang. Pengawal keselamatan pun pening nak buat apa dengan engkau.

“Nasib dia tak kena cekup dengan pengawal keselamatan The Mines. Akhirnya dia pergi sebab kumpau (tiada hasil memancing),” tulis pengguna TikTok yang memuat naik video berkenaan di ruangan kapsyen.

Tular di media sosial, tinjauan mendapati perkongsian itu telah berjaya meraih ratusan ribu tontonan setakat artikel ini ditulis dengan rata-rata pengguna terhibur dengan tindakan lelaki berkenaan.

Malah ramai juga pengguna TikTok berseloroh bahawa sekiranya suami dibenarkan untuk memancing sambil menemani isteri membeli-belah, kompleks berkenaan bakal menyaksikan peningkatan pengunjung.

”Mungkin abang itu sudah lama kumpau. Mancing sungai tak dapat ikan, mancing di kolam berbayar pun kumpau. Bagilah abang itu rasa tarik ikan sekejap,” seloroh seorang pengguna.

“Kalaulah dibenarkan memancing di pusat beli belah, aku percaya yang mana-mana suami tunggu isteri membeli sampai tiga ke empat jam pun tiada hal. Layan lu.” Kata pengguna lain.

Baca juga: Betul ke bawa laju sambil buka ‘aircond’ boleh jahanamkan ‘compressor’? Ini penjelasan pekerja bengkel