Malaysia Dateline

Tak ingat umur tapi hafal al-Quran, ustaz cerita kelebihan remaja Sindrom Down

Ditanyakan umur, dia tak ingat tetapi berbelas surah al-Quran mampu dihafal seorang remaja Sindrom Down di negara seberang.

Itu cerita Ustaz Yaakub Yusra berkongsikan pengalamannya tahun lalu berkunjung ke sebuah pusat tahfiz di Indonesia atau di sana dipanggil pesantren.

Ikuti cerita lengkap beliau buat iktibar sempena bulan mulia Ramadan ini bagi kita yang dilahirkan cukup anggota dan pancaindera:

Saya balik dari Indonesia (tahun lepas), saya jumpa seorang budak, namanya Fauzi. Dia macam Sindrom Down. Ada saya buat rakaman video dalam Facebook dengan dia.

Rezeki yang Allah izinkan kepada dia walaupun dia Sindrom Down, dia tak tahu umur dia berapa. Dia kata dia sembilan tahun. Saya kata dia nampak 20 tahun. Umur pun dia tak tahu.

Rumah pun tidak tahu di mana. Dia hanya tunjuk rumah depan tahfiz atau pesantren itu. Alamat rumah pun tak ingat. Tak ingat apa. Dia hanya ingat nama dia saja.

Saya duduk di pusat tahfiz itu. Saya tanya dia kenapa datang sini. Katanya, saja ronda-ronda pusat tahfiz itu.

Saya tanya dia, hafal al-Quran tak? Dia kata, hafal. Saya mulanya terkejut. Umur sendiri pun tak ingat. Alamat pun tak tahu tapi al-Quran dia ingat.

Saya ingat dia buat lawak. Saya tanya lagi, “Fauzi, ingat surah apa?”. Dia kata, “Ustaz, tanya saja saya”.

Ish, biar betul dia (Fauzi) ni.

Saya tanya dia, kita bermula dengan surah an-Nas. Saya baca satu ayat, dia sambung hingga habis.

Saya kemudiannya terus dengan surah al-Falaq. Saya sambung lagi dengan surah-surah lain.

Berbelas surah dia hafal dalam keadaan dia tidak sempurna dari sudut zahir.

Saya tanya kepada mudir. Kata mudir, dia tidak datang belajar formal di pusat tahfiz itu. Rumahnya hanya di hadapan maahad atau pesantren kami.

Hari-hari dia ronda maahad. Tengok orang baca al-Quran. Hanya dengan meronda itu dia boleh ingat berbelas surah.

Kita yang 50, 60 tahun ada pancaindera sempurna, berapa surah yang kita sudah ingat?

Saya dengar pun meleleh air mata. Umur dia pun Allah tak izinkan dia untuk ingat tapi al-Quran. Agak-agaknya penyaksian apa yang akan pancaindera cerita depan Allah kelak.

InsyaAllah, orang yang macam ini, maksiatnya tidak ada. Orang macam ini sah syurga ke atasnya.

Allahurabbi. Malu kita dengan dia. Subhanallah.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/musuh-islam-kafir-harbi-dan-teks-khutbah/

Baca juga: https://themalaysialife.com/kaki-bengkak-lepas-kena-covid-19-amar-minta-netizen-kongsikan-rawatan-untuk-isteri/