Malaysia Dateline

Tak kira berapa lama sekolah ditutup, agihkan dahulu komputer riba

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa kerajaan agar menyegerakan pemberian komputer riba susulan penutupan sekolah-sekolah akibat peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik bersama tiga lagi ahli jawatankuasa pendidikan PH berkata, tidak kira berapa lama sekolah ditutup, bantuan komputer riba perlu disegerakan kepada semua golongan terutama pelajar-pelajar yang memerlukan.

“Arahan melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) merupakan satu langkah wajar memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat.

“Tetapi ia harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan.

“Langkah ini bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksima kepada semua murid dan guru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Maszlee, dan jawatankuasannya, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (AMANAH).

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzu Jidin menetapkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara akan mengikuti PdPR selama dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri

Bagaimanapun, sebanyak 79 buah sekolah di Selangor telah diarahkan tutup untuk tempoh dua hari yang bermula semalam susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Manakala 11 buah sekolah di Negeri Sembilan juga diarahkan tutup.

Selain itu di Johor, sebanyak 34 buah sekolah dilaporkan telah diarah untuk ditutup sejak 23 April lalu.

Sementara itu, jawatankuasa pendidikan PH menggesa supaya pihak kerajaan dapat memberi insentif khas kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.

“Bagi guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran, dijemput untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti,” cadang jawatankuasa itu.