Tak kompromi soal harga, Alyah anggap bayaran perlu setara dengan pengalaman

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah lebih dua dekad dalam industri seni pastinya selebriti terutamanya penyanyi mahukan bayaran setara dengan pengalaman

Bukan senang nak jumpa penyanyi yang menjaga penampilan dan vokal, begitulah juga dengan penyanyi Datin Alyah.

Sebolehnya dia tidak mahu berkompromi soal harga untuk persembahan malah ada pasukan pengurusan yang profesional dalam berurusan lapor Harian Metro.

“Contohnya saya tak pergi konsert pakai selipar. Saya persiapkan diri saya kerana tahu client (pelanggan) bayar saya untuk tengok diri saya dari semua segi dan benda itu perlukan kos.

“Saya dah 24 tahun dalam industri dan tak bolehlah dibayar ikut sesuka hati. Kalau orang nak buat begitu, sejujurnya memang saya takkan pergi. Itu prinsip saya.

“Bukan saya riak tapi perlu kena dengan situasi. Pengalaman saya tak boleh dinilai dengan duit. Benda itu orang patut tahu dan patut ingat. Tidaklah harga sampai satu kapal terbang tapi kenalah masuk akal.

“Saya tak pernah letak harga melebihi artis senior. Tapi ada juga client tanya boleh tak minta kurang. Itu bergantung pada budi bicara macam mana contohnya muncul di TV. Saya ingat jasa mereka,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambahnya penggunaan perkataan amal oleh penganjur dilihat seakan mempergunakan selebriti.

“Saya seorang yang bekerja. Saya juga ada tanggungjawab walaupun suami saya Tok Ram (Datuk Ramli MS). Saya ada emak dan anak saudara yang ditanggung selepas abang saya meninggal.

“Selain itu, saya juga ada kawan-kawan yang kadang-kadang kita rasa nak memberi sebagai tanda terima kasih dan membalas jasa. Saya harap perkara ini perlu difahami.

“Berkenaan Tok Ram pula, kami saling menghormati karier satu sama lain. Dia sangat tegas waktu bekerja.

“Tapi selepas itu sisinya berbeza. Orang mesti ingat dia garang tapi sebenarnya tidak,” ujarnya.

Baca juga: Awet muda di usia 49 tahun Ning Baizura pesan ‘rajin-rajinlah berpuasa, hati pun kena cantik’