Ada lepasan SPM yang menganggap tiada gunanya sambung belajar ke peringkat pengajian tinggi dengan alasan beban hutang dan gaji yang rendah walaupun memiliki ijazah.
Susulan itu, pelbagai pandangan dan nasihat sama ada pro mahu pun kontra dilontarkan oleh generasi ‘abang dan kakak’ yang antaranya turut bekerja di Singapura.
Antaranya, Rayyan Ishak yang mengaku telah bekerja selama 10 tahun di seberang tambak.
“Kerja awal-awal masuk tu jangan memilih. Bina pengalaman anda. Kalau mula-mula dulu gaji hanya RM 4,000 hingga RM5,000 tetapi sekarang minimum gaji lepas tukar kepada RM sekurang-kurangnya tidak kurang RM12,000,” katanya.
Sementara itu, pekerja bank, Mizan Md Noor berpendapat bagi mereka yang tidak merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah adalah disyorkan untuk terlibat dalam insurans.
“Kalau hanya SPM, buat insurans unit trust, gaji RM15,000 ke atas. Itu lebih mewah dari kerja di Singapura.
“Saya pun SPM saja, gaji bawah RM8,000 kerja bank. Alhamdulillah, rezeki. Nak ambil ijazah atau tidak terpulang pada diri masing-masing,” tambah Mizan lagi.
Bagi yang menolak tanggapan tidak perlu mengambil ijazah itu, ramai yang mengingatkan bahawa wujud perbezaan karakter antara individu bergantung pada tahap pendidikan.
Malah, ada yang berpendapat pemegang ijazah mempunyai lebih banyak peluang yang jauh lagi cerah serta menikmati jumlah pendapatan lebih tinggi tambahan lagi jika bekerja di negara maju.
“Daripada ‘berkorban’ tak buat degree, baik buat degree dan merantau ke negara maju macam Singapura.
“Gaji untuk pemegang ijazah minimum RM8,100. Masuk beb!” katanya.
Berhubung beban hutang selepas tamat pengajian, kalangan warganet berpendapat ada ikhtiar untuk mengelak hal sedemikian termasuk memohon biasiswa.
Syaratnya, suka atau tidak, wajib rajin belajar dan sifat sama juga perlu ada apabila berada di lapangan pekerjaan.
“Jangan malas dik, belajar kena rajin-rajin. Kalau tak nak fikir pasal pinjaman, minta biasiswa, syaratnya kena rajin belajar untuk dapat gred tinggi.
“Kalau pasal gaji, percayalah RM2,000 itu cuma untuk setahun dua, lepas itu, insyaAllah akan naik, yang penting rajin kerja, effort kena letak nombor satu,” kata Norhazani Yaakob.
Baca juga Pernah susah semasa belajar, penjual nasi lemak ikhlas beri makanan