Tak malukah kita, tok guru masih hidup?

Tak malukah kita, tok guru masih hidup?
Menurut Sharhan, ketua pemuda Pas Selangor itu, serangan yang dilemparkan ke atas Pas khasnya ke atas Hadi sendiri seolah-olah mempertikaikan kemampuan beliau sebagai pemimpin.

Tindakan sesetengah pihak dalam Pas menyerang parti itu dan kepimpinannya berikutan penyelesaian luar mahkamah kes saman terhadap Sarawak Report mendapat balasan pemuda Pas Selangor.

“Tidak malukah kita ketika ini. Tuan Guru masih hidup namun tindakan kita seakan Tuan Guru sudah tiada.

“Tanpa segan silu seusia muda ini menggoncang bahtera yang dikemudi oleh beliau,” tulis Sharhan Humaizi Abdul Halim, ketua pemuda Pas Selangor dalam facebooknya.

Inilah yang berlaku dalam Pas sekarang sebaik sahaja presiden parti itu menarik balik samannnya terhadap Sarawak Report berkaitan dakwaan parti itu menerima RM90 juta wang dari Umno.

Baru-baru ini, Setiausaha Politik Presiden Pas itu dalam satu kenyataannya memaklumkan penyelesaian luar mahkamah saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Claire Recastle Brown.

Ekoran itu, Claire dalam kenyataannya kepada media berkata, beliau berpuashati dengan keputusan itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan membantu saya dalam cubaan Pas membuli melalui undang-undang ini.

“Saya tidak berganjak. Rencana terbabit kekal disiarkan dalam talian serta tidak diubah walaupun ada cubaan menutup mulut saya dan memperlecehkan saya sebelum PRU lalu,” katanya.

Ekoran itu, dalaman Pas berkocak.

Seorang ulama muda dan ahli pasukan pemikir ulama Pas, Dr Muhammad Atiullah menyerangkan AJK Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang didakwa beliau mendedahkan pemimpin Pas dan beliau sendiri ada menerima duit Umno.

Ini berikutan audio pengakuan Nik Abduh itu menjadi sebahagian dari bukti yang difailkan Claire dalam pembelaannya.

Kata Atiullah, ada 40 saksi yang masih hidup bersama beliau mendengar pengakuan Nik Abduh yang juga ahli parlimen Pasir Mas itu.

Menurut Sharhan, ketua pemuda Pas Selangor itu, serangan yang dilemparkan ke atas Pas khasnya ke atas Hadi sendiri seolah-olah mempertikaikan kemampuan beliau sebagai pemimpin.

“Seakan kepimpinan beliau naif tidak mampu menghentikan kekerasan “kerak nasi” sebahagian ahli.

“Sedangkan Tuan Guru yang kita kasihi ibarat “energy” yang menerangi tidak kunjung malap,” kata anak bekas setiausaha agong Pas itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat siasatan segera terhadap dakwaan Pas menerima wang dari Umno yang dikatakan wang 1MDB itu.

Beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

Menurut sumber, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dibuka selepas SPRM menerima laporan daripada pihak polis berhubung isu berkenaan petang semalam.

“Beberapa individu termasuk yang berkaitan dalam isu ini akan dipanggil SPRM dan kami meminta semua pihak bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes berkenaan,” katanya kepada Bernama semalam.

Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, Pas sedia memberikan kerjasama kepada SPRM dalam siasatan itu termasuk menyerahkan akaun bank Pas Pusat.