Malaysia Dateline

Tak mustahil Donald Trump bersama perjuangan ‘parti suci’

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin menyindir sikap pemimpin Pas yang digelarnya ‘parti suci’ apabila berdolak-dalih berhubung sokongan terhadap parti yang baharu selesai menganjurkan himpunan Fastaqim 2.0 itu.

Menurutnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga barangkali antara turut serta dalam perjuangan parti berkenaan jika mengikut tafsiran tokoh pemimpin Pas tertentu.

“Kasihan saya pada seorang pemimpin parti suci yang nampaknya berbelit-belit memberi tafsiran maksud menyertai parti suci.

“Terpaksalah bersilat, berbelit begitu selepas mula-mula kata ada kejutan besar di malam akhir Fastaqim. Lepas tu orang ramai lihat tak ada sebarang pengumuman pun mana-mana tokoh isytihar jadi ahli parti suci.

“Ikut tafsiran pemimpin parti suci yang kreatif tu tak mustahil Donald Trump pun mungkin termasuk dalam tafsiran ahli atau bersama-sama dalam perjuangan parti suci,” sinisnya di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut tentang kemungkinan itu, beliau berkata, ‘parti suci’ mempunyai hubungan baik dengan Malaysian Official 1 (MO1) manakala MO1 pula baik dengan Presiden AS ke-45 itu sehingga sanggup untuk membantu mengukuhkan ekonomi AS.

“Jadi, jika orang yang tak jadi ahli parti suci dikira ahli parti kerana bersama perjuangan parti suci, apa salahnya lanjutkan orang yang berbaik dengan teman rapat parti suci pun dikira bersama-sama dengan perjuangan parti suci,” tempelaknya.

Bahkan, mungkin MO1 dan isteri juga boleh dikira bersama-sama perjuangan parti suci, ujar Hanipa, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

“Dan jangan lupa Mr Arul Kanda yang berjaya fahamkan pemimpin parti suci hanya dalam tempoh dua jam tentang 1MDB.

“Takkanlah tak dianggap bersama-sama perjuangan parti suci. Maaf Tun Mahathir dan YB Rafizi, anda tak termasuk,” selorohnya lagi.

Sebelum Fastaqim 2.0, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan mengumumkan akan berlaku kejutan iaitu penyertaan dua atau tiga tokoh nasional ke dalam Pas di malam kemuncak Fastaqim 2.0 di Terengganu.

Bagaimanapun apabila akhirnya tiada sebarang kejutan, malah dua bekas pegawai kerajaan yang hadir tidak menyertai Pas, sebaliknya hanya hadir di himpunan Fastaqim 2.0 sebagai tanda sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam membanteras rasuah, nada kata Nasruddin lain pula bunyinya.

Kata beliau, ada pelbagai cara untuk seseorang itu bersama-sama dengan perjuangan Pas.

“Bersama Pas tidak semestinya menjadi ahli. Boleh saja bersama dengan maksud mendukung cita-cita perjuangan parti dan ada yang memilih untuk menjadi ahli Pas, sebagai rakan kongsi atau penyokong,” ujar beliau lagi.