Malaysia Dateline

Tak nampak ke banyak kes Covid-19 di tempat kerja, kecam orang ramai kepada Azmin

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat terus menjadi sasaran ekoran memuatnaik video yang menunjukkan dia ‘buat kerja’.

“Jurnal saya dari 14 Jun 2021 sehingga 18 Jun 2021. Selamat menonton,” katanya dalam video berlatarkan muzik berdurasi hanya seminit itu.

Bagaimana, rata-rata warganet dalam reaksi mereka mengecam Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkenaan dengan mengaitkan pertambahan banyak kes baharu Covid-19 yang kebanyakannya berpunca dari tempat kerja.

Orang ramai dilihat menyuarakan rasa kecewa apabila banyak kilang dan premis perniagaan masih beroperasi walaupun negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

“Nak bagitau kes (Covid-19) di tempat kerja banyak sekarang ni. Buat-buat tak nampak ke”? tempelak Lisa Zulkipli.

Untuk rekod, kluster di tempat kerja terus mencatatkan peningkatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 1,328 kluster setakat minggu lalu.

Daripada jumlah kluster yang dikesan itu, sebanyak 624,246 individu sudah disaring dalam kluster berkenaan dan daripada jumlah itu 147,040 kes dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus, dedah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 14 Jun lalu.

Sehubungan itu, ramai berharap Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dilancarkan 16 Jun lalu untuk kalangan pekerja membolehkan tempoh ‘berkurung’ di rumah tidak dilanjutkan.

“Semoga usaha ini (PIKAS) berjaya secepat mungkinlah Datuk. Penat tengok kluster tempat kerja dan penat duduk rumah sebulan ni,” tulis Hazril Hamzah.

Harapan sama disuarakan Amir Zamani yang berkata, “Harap berjayalah PIKAS untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.”

Tidak kurang juga yang mengingatkan Azmin agar tidak lagi melakukan pendekatan separuh masak ketika negara di bawah perintah ‘total lockdown’ bagi memastikan krisis Covid-19 benar-benar diperangi.

“Jika perlu berkorban untuk kebaikan bersama, semua kena berkorban bersama untuk seketika. Bukan ada yang lepas tapi majoriti yang terkorban.

“Bantuan pula patut diberi awal pada kadar yang wajar dan realistik bagi meringankan beban golongan yang paling terjejas supaya mereka mampu menghadapi tempoh yang sukar sekarang ini,” kata Elvylin Chan.

Untuk rekod, sektor perkilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes membabitkan 639 kluster setakat minggu lalu.