Malaysia Dateline

Tak ngaji usul fiqh ke, pendakwah kritik Menteri Agama

Pendakwah Khairul Ikhwan Md Zaki dilihat mengkritik Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dalam majlis tahnik sempena kelahiran anak Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.

Penceramah itu menegaskan fiqh al-waqi’ iaitu fiqh realiti dengan ancaman penularan pandemik Covid-19 pada masa ini perlu diambil kira bagi mengelak salah faham terhadap konsep berkat.

“Cuba tengok waqi’ dan keadaan sekarang ini masa Covid-19. Dahlah menteri itu pergi merata, tidak tahu jangkit dari sesiapa.

“Ustaz-ustaz yang datang pula bercampur dengan orang di masjid. Tiba-tiba nak tahnik budak. Mudarat itu lebih banyak daripada manfaat pada musim Covid-19.

“Ustaz tak mengaji ke kaedah usul fiqh? Apabila orang di bawah marah, pakat dok marah. Munasabah orang marah sebab mu buat kerja tak betul,” tegasnya dalam sedutan rakaman video ceramah yang tular di media sosial.

Kehadiran Zulkifli dan beberapa penceramah lain di majlis anak kedua Siti Nurhaliza, Muhammad Afwa mengundang kecaman masyarakat kerana didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Siti memberitahu, Zulkifli hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Turut dikritik kehadiran penceramah berasal dari Terengganu yang terkenal menyebut ‘bodoh’ berulang kali ketika berceramah, Ustaz Azhar Idrus (UIA) apabila didakwa warganet merentas negeri ketika negara dalam fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, UIA menjawab, dia memang berada di rumah ibu mentuanya di Kuala Lumpur sewaktu majlis tersebut diadakan.

Bahkan, kata UIA, kehadirannya di kediaman penyanyi terkenal itu hanya menuruti permintaan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang dakwanya sudah tiga tahun mereka berkawan.

Menerusi beberapa keping gambar di akaun Instagram Siti, majlis tersebut turut dihadiri penceramah selebriti Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Polis Ampang Jaya telah membuka siasatan berhubung dakwaan majlis tahnik anak Siti yang melanggar SOP Covid-19 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Hari ini, polis mengambil keterangan lapan individu termasuk penganjur majlis tahnik anak penyanyi terkenal berkenaan.

Kesemua mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).