Malaysia Dateline

‘Tak payah jadi menteri kalau setakat minta rakyat wakaf air RM10’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Zolkharnain Abidin membidas pendekatan menteri yang dilihat hanya meminta wang daripada rakyat.

Beliau berpendapat gesaan menteri berhubung sumbangan sekurang-kurangnya RM10 bagi menjayakan projek Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air) sebagai menjadikan rakyat sebagai sasaran.

“Semua benda menteri nak letak atas kepala rakyat. Ada masalah bekalan air, menteri minta rakyat wakaf air RM10 seorang.

“Siap menteri buat kira-kira, kalau sekian orang wakaf sekian banyak, akan terkumpul dana sekian banyak. Padahal tiap-tiap bulan rakyat bayar bil air, apa kerajaan buat?” soalnya dalam satu kenyataan.

Zolkharnain Abidin

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Wakaf Air antara usaha kerajaan untuk membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutama di luar bandar dan ketika berlaku krisis air.

Timbalan Presiden Pas itu menganggarkan sebanyak RM16 juta sebulan dana wakaf itu terkumpul jika 1.6 juta penjawat awam membuat potongan gaji secara tetap setiap bulan sebanyak RM10.

“Dalam masa setahun, RM192 juta dana wakaf dapat dikumpulkan dan dalam masa lima tahun, jumlah kumulatif dana wakaf akan mencapai RM960 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Waqf Advancement Webinar 2020 secara maya anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Tuan Ibrahim juga berharap masyarakat awam dapat menerima baik konsep Tabung Wakaf Air Nasional yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh.

Mengulas lanjut, Zolkharnain mempersoal kewajaran Wakaf Air yang mengharapkan wang rakyat itu memandangkan sebelum ini kerajaan mengemukakan banyak alasan berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Wakaf itu bagus. Memang tak paksa, tapi kenapa rakyat sasarannya? Apabila rakyat minta keluar KWSP tanpa syarat, banyak pula alasan kerajaan.

“Lepas itu sedap-sedap saja menteri nak minta rakyat berwakaf. Sudahlah rakyat kena tanggung seribu macam bayaran. Kini nak minta rakyat berwakaf pula?” bidasnya.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan secara sinis menyebut mengutip derma ceramah adalah lebih baik.

“Kalau jadi menteri, setakat nak cadang rakyat bagi duit kepada kerajaan RM10 seorang, elok tak payah jadi menterilah!

“Jadi, tukang kutip derma ceramah lagi bagus,” tempelak Zolkharnain lagi.

Pada Ogos lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, model tadbir urus Wakaf Air bertujuan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat yang dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Katanya, ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup ditetapkan dan pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih RM50,000.

Ia termasuk penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun musim kemarau.