Malaysia Dateline

Tak pelik kalau Bung telan Hajiji hidup-hidup, kata Kadir Jasin

Tidak hairan sekiranya Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menelan hidup-hidup Ketua Menteri baharu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata demikian merujuk kepada ciapan Twitter Masidi Manjun yang memaklumkan dalam masa tiga jam sahaja, beliau telah bertukar Kementerian dengan Bung Mokhtar.

Bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, kandungan Twitter Adun Karaanan itu adalah contoh tentang betapa longgarnya kerajaan baru Sabah.

“Bayu dari Gunung Kinabalu membawa khabar mengatakan Bung Mokhtar naik angin dan buat ribut menuduh Ketua Menteri Gabungan Rakyat Sabah dari Bersatu, Hajiji mungkir janji.

“Itulah yang tular di media sosial. Faham sajalah. Bung ini kepala pilihan raya Umno negeri Sabah.

“Walaupun prestasi Umno tidak menyerlah malah bertambah pudar, namun dia tetap bossku Umno Sabah dan cukup intim dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Secara kebetulan kedua-dua mereka Orang Kena Tuduh,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, Masidi kini memegang jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala Bung Mokhtar pula diletakkan di bawah portfolio Menteri Kerja Raya.

Justeru katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu hanya boleh diselamatkan sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berkuasa di peringkat persekutuan.

“Kalau kita bandingkan watak Bung Mokhtar dengan Hajiji, rasanya tidak pelik kalau Bung Mokhtar telan Hajiji hidup-hidup.

“Hajiji boleh selamat hanya dengan perlindungan Putrajaya. Itu pun selagi Muhyiddin dan Perikatan Nasional masih berkuasa.

“Jadi jangan hairanlah kalau Putrajaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Sabah. Lebih kurang macam zaman Umno juga,” katanya lagi.